KULTUM - Geografi Kehidupan



Setiap kehidupan manusia pasti akan melalui ujian kehidupan. Ujian ini warna warni yang mencorakkan setiap perjalanan dalam dunia yang sebegitu singkat ibarat jarak masa antara azan dan iqamah. Tidak banyak yang kita mampu lakukan, tidak banyak yang mampu kita kerjakan. Dalam masa yang singkat ini, umat manusia haruslah sedar akan peranan dan agenda yang Allah Ta’ala telap tetapkan bagi mereka.

Seorang muslim mempunyai peranan yang amat besar dan penting dalam hidup ini. Dalam kehidupan pasti ada waktu kita di atas dan ada waktu kita di bawah. Itulah ujian, suasana geografi kehidupan. Tidak sempurna hidup seseorang manusia itu jika tiada ujian. Kerana hidup yang penuh dengan warna adalah lebih cantik daripada hidup yang putih sahaja warnanya.

Ada beberapa tugas untuk kita dalam hidup ini supaya kita mengerti nilai hidup kita. Antaranya menuntut ilmu, menjalinkan ukhwah, mencari rezeki, berbakti pada ibu bapa dan mendekatkan diri kepada Allah.

Sebagai seorang mahasiswa Muslim, menuntut ilmu merupakan satu jihad, dalam usaha menguasai bidang-bidang untuk kebaikan umat sejagat. Menuntut ilmu walau di mana pun kita berada, kerana ilmu merupakan cahaya kehidupan yang membuatkan akal kita dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Rasulullah pernah berkata "Sampaikanlah dariku walau satu ayat". Hadis ini memberitahu kepada kita bahawa ilmu yang dituntut hendaklah disampaikan kepada orang lain. Dalam masa yang sama, adab dalam menuntut ilmu perlu dipatuhi dan dituruti contohnya menghormati guru. Guru ibarat ibu bapa kita di sekolah yang membentuk sebahagian diri seorang manusia. Dalam kehidupan kita akan ada dua ibu bapa,pertama ibu bapa alam rohani dan kedua ibu bapa alam jasmani. Tambahan lagi, adab menuntut ilmu adalah dengan menulis. Imam Syafie pernah berpesan " Ilmu yang difahami dan diingati akan hilang akhirnya, tetapi ilmu yang difahami dan ditulis akan berkekalan sepanjang zaman"

Seterusnya peranan muslim adalah membina dan menjalinkan ukhwah. Umat islam adalah bersaudara tidak kira mengira bangsa dan warna kulit. Manisnya ukhuwah itu bila disemai dalam diri, contoh dapat dilihat pada orang Arab yang mana semangat ukhuwah mereka terlalu tinggi boleh berpegang tangan dengan sahabanya yang sama jantina. Begitu kasihnya mereka pada sahabat mereka. Sabda Nabi Muhammad

"Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri".

Ada satu pepatah mengatakan bahawa Bintang ada 5 penghujung (bucu), manakala segi empat ada 4 penghujung (bucu), Segi tiga ada 3 penghujung (bucu), Garisan ada 2 penghujung (bucu), dan Hidup ada 1 penghujung (bucu), tetapi persahabatan umpama bulatan yang tiada penghujungnya.

Poin ketiga adalah mencari rezeki yang halal. Rezeki yang diambil akan menjadi darah daging kita, andai halal makanan yang diambil, maka baiklah hasilnya, jika haram maka buruklah hasilnya. Selalu kita dengar orang tua cakap lepas subuh jangan tidur, nanti rezeki mahal. Lepas subuh inilah waktu di mana rezeki Allah melimpah ruah dan sangat luas di muka bumi ni. Bersyukur adalah refleksi bagi seseorang muslim dengan ucapan Alhamdulillah.

Ibu Bapa, insan yang paling dekat dengan kita dan banyak berjasa pada kita. Tanpa mereka kita tidak akan ada di muka bumi ini. Syurga di bawah telapak kaki ibu manakala kuncinya ada pada ayah. Jangan pernah meninggikan suara pada ibu dan bapa. Walaupun dengan berkata eh!,cis!, ah! . Sekalipun itu tetap dianggap berdosa. Redha Allah datangnya pada kita jika ibu bapa kita meredhai kita. Berbaktilah wahai sahabat pada ibu bapa selagi ibu bapa kita hidup. Setelah ketiadaan mereka nanti mungkin kita tidak berpeluang merasai nikmat tu.

Dan yang terakhir, peranan utama kita dalam kehidupan adalah menghampirkan diri dengan Allah Ta’ala dengan mengerjakan setiap suruhannya. Allah Ta’ala adalah Maha Pencipta kita. Kejadian manusia bergantung padanya menunjukkan bahawa kekuasaan Allah melebihi segalanya. Lumrah kita sebagai seorang hamba, perlu taat akan perintah Allah. Allah sentiasa ada perancangan yang terbaik buat diri kita semua, dan Allah akan memberikan apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu. Jangan pernah kecewa atas apa yang kita minta tidak dapat. Kerana Allah ada berfirman,

“Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu boleh mendatangkan kebaikan kepada kamu dan boleh jadi juga sesuatu yang kamu ingini itu boleh mendatang mudarat kepada kamu.”

Muhasabahlah diri setiap masa, adakah kita telah laksanakan semua ini dalam geografi kehidupan kita dengan betul?

Meor Amir Muhsin
Biro Tarbiyah dan Dakwah
PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan