IFTAR JAMAI'E: Teladani Sahabat Nabi, Musa'b Bin Umair


Kolej Serumpun,UPM,6 Feb – PEMBINA UPM telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama. Ternyata program seperti ini mampu merapatkan hubungan antara pelajar. Walaupun berbeza jurusan, fakulti dan kolej, namun hubungan menjadi rapat kerana ikatan islam itu sendiri.

Sedikit perkongsian oleh Saudari Sayang Syamira, Exco Kerohanian dan Integrasi MPP UPM, mengenai kisah sahabat Rasulullah S.A.W  iaitu Mus’ab bin Umair. Beliau merupakan sahabat Rasulullah S.A.W yang sangat berjasa dalam menyebarkan agama islam. Sebelum memeluk islam, Mus’ab seorang jejaka yang sangat kaya datang dari keluarga bangsawan. 

Namun, islam mengubah beliau dari yang suka bermewahan menjadi seorang yang sangat sederhana. Sehinggalah sampai ke pengetahuan ibunya Mus’ab telah memeluk islam. Ibunya telah mengurung dan menyiksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Namun, tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab. 

Suatu hari, ibunya mengugut tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islam. Mus’ab berkata kepada ibunya: 

“Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Begitu tegasnya Mus’ab demi mempertahankan agama suci ini. Berbeza sungguh jika dibandingkan dengan pemuda mahupun pemudi sekarang yang sanggup menggadai agama untuk mengejar dunia.

Kemudian Mus’ab dihalau oleh ibunya dan dia tinggal bersama Rasulullah S.A.W dan sahabat. Mereka berjuang bersama demi islam. Sewaktu terjadi peperangan Uhud, Mus’ab syahid. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. 

Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur.

“Apabila ditarik kainnya keatas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.”

Demikianlah kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau juga merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak  berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. 

Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah.Kisah Mus’ab harus diteladani remaja masa kini. Moga – moga cabaran dunia tidak melalaikan kita mengejar akhirat.

Majlis pada malam itu dimulakan dengan bacaan Mathurat, solat berjemaah dan paling menarik sekali ialah makan berdulang, salah satu aktiviti yang mengeratkan lagi kasih sayang dan ikatan persaudaraan. Majlis pada malam itu berakhir selepas solat isyak berjemaah.

Nur Aqilah
Wartawan 
Biro Media dan Promosi
PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan