Hambatan Sang Rijal


Pada mulanya, apabila saya terpanggil untuk menulis mengenai tajuk ini, saya agak merasa berat kerana saya merasakan bahawa tangan yang menulis lebih dekat dengan isi tajuk dan mempunyai tanggung jawab yang lebih besar dan akan dipersoalkan suatu hari nanti.

Imam Hassan Al-Basri

Teringat akan saya mengenai kisah Imam Hassan Al Basri, di mana beliau sering memberi kuliah agama dan setiap kali kuliahnya sering memberi kesan kepada pendengar yang mendengar kuliah beliau.

Pada suatu hari, datang seseorang memberitahu Imam Hassan untuk memberi kuliah mengenai pembebasan hamba, selang beberapa masa, beliau tidak memberikan kuliah bertajuk seperti yang diminta, hingga tiba suatu masa baru beliau memberikan kuliah bertajuk pembebasan hamba seperti yang diminta. Hal ini menimbulkan tanda tanya di atas tingkah laku Imam Hassan Al-Basri, lalu mereka bertanya kepada beliau mengenai situasi yang berlaku untuk mendapatkan penjelasan.

Rupa-rupanya Imam Hassan Al Basri mengambil beberapa jangka masa untuk mendapatkan hamba lalu membebaskan hamba tersebut untuk merasai sesuatu amalan tersebut sebelum memberi kuliah mengenainya. Semoga kisah ini sedikit sebanyak mengisi slot muhasabah dalam diri kita.

Pemuda Tiang Kebangkitan

Moga sedikit penulisan saya ini menjadi pemangkin semangat kepada rakan-rakan yang membaca dan terutamanya diri ini. Khas buat dirimu yang bergelar rijal dakwah. Rijal ini saya lebih suka untuk mensinonimkan dengan pemuda, sedarlah bahawa pemuda atau belia merupakan aset yang penting dalam menyiapkan tiang-tiang kebangkitan Islam dan ini terserlah dengan pelbagai kisah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubi dan ramai lagi tokoh pejuang Islam yang lain yang berjaya menakluk zaman dalam usia muda.

Suatu hakikat yang kita tidak dapat lari bahawa dalam melayari bahtera dalam menyampaikan risalah dan menjadi rantai dakwah Rasulullah, maka pelbagai hambatan dan rintangan yang akan dihadapi. Bahtera tersebut perlu merentasi onar laut dan ombak yang sangat kuat, lebih-lebih lagi jika perjalanan bahtera itu merupakan perjalanan yang memakan masa dan agak jauh untuk sampai ke destinasi yang ingin ditujui.

Wallahi ikhwah sekalian, pasti akan ada sahaja aral yang melintang, dan rintangan yang kita perlu hadapi. Maka bersiap siagalah!

Rintangan Pemuda

Saya cuma ingin menukilkan sedikit mengenai dua hambatan hasil telahan saya, dua hambatan ini telah banyak meracuni kebanyakan aktivis dakwah khususnya di Malaysia. Noktah pertama saya ialah hambatan bermalas-malasan yang amat tinggi, lebih dikenali dengan rijal atau kader manja. Sewajarnya tarbiyah yang kita lalui menjadikan kita lebih jantan dan bukannya lebih suka untuk bermanja-manja yang berlebihan. Saya tidak merasakan bahawa bermanja itu sesuatu yang salah secara keseluruhannya, cuma ianya perlu berkadaran dan perlu mengikut kesesuaian tempatnya.

Kebanyakan mereka hanya semangat untuk melakukan sesuatu kerja dakwah semasa merasa ringan dan lapang untuk melakukannya, tapi bila waktu agak sulit atau berat, lantas mereka meninggalkan kerja dakwah ini atas pelbagai alasan.

Ikhwah yang dirahmati sekalian, marilah kita duduk sejenak dan tadabbur firman Allah:
“Pergilah kamu beramai-ramai, samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Al-Taubah : 41)
Ya! Dalam ringan ataupun berat. Oleh itu tindakan yang paling tepat apabila kita merasa berat atau lemah ketika itu ialah dengan melakukan perkara tersebut. Bukanlah dengan memberi alasan dan untuk melarikan diri. Kita mungkin boleh untuk berlari tapi sedarlah ikhwah sekalian jika bukan kita, maka akan digantikan dengan orang lain. Saya ingin bertanya semula, adakah kita mahu diganti?

Lihat sahaja reaksi muka pemain bola, bila diganti oleh pemain lain sedangkan baru bermain sebentar. Jelas terpancar kemuraman dalam riak muka pemain tersebut. Itu pemain bola, inikan pula para dai’e merupakan pembawa panji kebenaran yang merupakan satu pekerjaan yang mulia di sisi Allah.
“Dan, jika kamu berpaling niscaya Allah akan mengganti(mu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).” (Muhammad: 38)
Adakah anda mahu menjadi orang yang rugi? Adakah kita hendak merasa terus berada dalam zon selesa sehingga datangnya hari di mana tiada gunanya penyesalan.

Berfikir sejenak

Saya minta sangat-sangat untuk kita berfikir sejenak adakah anda tidak merasakan bahawa masa berlalu dengan pantas, rasa-rasanya baru semalam bersama teman persekolahan, hari pertama mendaftar di universiti, apa yang kita telah lakukan sepanjang waktu tersebut? Banyak manfaat atau mudarat?

Banyak persoalan yang saya cuba timbulkan kepada anda kerana sedarlah bahawa kita akan ditanya satu hari nanti. Wallahi ikhwah (saudara), kita akan ditanya. Ya! Akan ditanya!

Cubit peha kanan, peha kiri turut terasa

Di manakah kita semasa kekejaman kepada umat islam di Central African Republic (CAR), Palestin, Syria dan negara-negara yang lain. Ada yang dipotong kakinya, ada pula yang dirogol dan dimakan anggota badannya. Bukankah Rasulullah bersabda,
"Barangsiapa tidak mengambil peduli nasib saudara mereka, maka mereka bukanlah dari kalangan mereka.”
Saya mengulangi persoalan yang saya lontarkan pada awalnya, adakah kita lebih selesa bersama Flappy Bird, Dota dan PES? Habiskan kebanyakan masa di Facebook, Instagram dan Whatsapp? Mungkin kita merasakan kita ada banyak kisah silam yang tidak baik, sedarlah kita masih ada harapan, Allah dekat dengan kita. Teruskan melangkah. Bila jatuh, bangun semula dan teruskan melangkah setapak demi setapak pun tidak mengapa, yang penting anda berjalan!

Jiwa Cinta Remaja

Hambatan kedua yang saya rasa perlu untuk saya nukilkan ialah mengenai kisah sang rijal yang jiwang. Mungkin ada yang merasakan kes jiwang ini agak sensitif.

Ikhwah yang dihormati, saya tidak nafikan perasaan cinta itu ada dalam setiap diri manusia termasuk yang menulis ini tidak terlepas. Hasil penilitian saya, hambatan untuk pemuda-pemuda lebih-lebih lagi para aktivis dakwah kebanyakan bukanlah dugaan wanita yang datang dalam bentuk yang berpakaian menjolok mata, adapun sebenarnya tidak dinafikan bahawa hal ini memberikan kesan kepada jiwa pemuda, sang rijal.

Akan tetapi nokhtah penting yang ingin saya sampaikan ialah hambatan wanita kepada pemuda terutamanya para aktivis dakwah ialah ianya datang dalam bentuk yang solehah, berniqab dan memakai pakaian yang labuh, baju kurung dan bercakap dengan intonasi yang amat sopan santun.

Pada waktu itu, datanglah bisikan dalam hati sang rijal ini.

” Wah, telah datang bakal tulang rusukku yang menghilang selama ini..”

”Haa.. Macam inilah bakal zaujah (isteri) aku, ramah, sopan santun dan sedap mata memandang..”

“Sopan santun ukhti (saudari) ni, dah lah qowiy (hebat) , mesti sangat baik dan boleh kejut aku tahajjud lepas kahwin nanti, bahagianya..”

“..(menyanyi lagu-lagu jiwang dalam hati)..”

Cinta Enta Enti

Wah! Sungguh belitan iblis dan syaitan itu sangat hebat ya. Mudah-mudah sahaja kita dibelit dan diikat. Jujur, saya harap kita untuk cuba berwaspada dalam perkara ini, atau mudahnya saya dapat simpulkan permasalahan ini dengan istilah "Cinta Enta Enti".

“Ala.. Kita hantar pesanan berbentuk nasihat dan tazkirah .. Ini persediaan sebelum ke arah Bait Muslim (Keluarga Muslim) la.”

Jatuh bangun Seorang lelaki terutamanya pemuda, banyak berkait rapat dengan insan yang dipanggil wanita. Saya ingin menyarankan dengan jelas, jika anda telah minat kepada seseorang atau telah merasa mampu untuk berkahwin maka berkahwinlah. Tidak perlu ditunggu tempoh yang terlalu lama, dengan alasan hendak berkenal-kenal terlebih dahulu.

Hasil penelitian saya, telah banyak kes yang saya jumpa di mana si suami yang tidak terlalu mengenali si isteri, akan tetapi dapat hidup bahagia berpanjangan dalam rumahtangga mereka selepas melangkah ke gerbang perkahwinan dan sebaliknya pula terjadi kepada yang telah mengenali untuk tempoh yang terlalu panjang dalam beberapa kes.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:
“Hai orang-orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) itu dapat mengawal mata dan kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.”

Ikhtilat di antara lelaki dan wanita

Saya harap untuk kita dapat menjaga dengan sebenar-benar penjagaan dalam perkara berkaitan ikhtilat (pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan) ini. Hukum asas hubungan antara lelaki dan perempuan ialah haram pada asasnya, adapun beberapa rukhsah (kelonggaran) dalam perkara ini seperti belajar, urusan jual beli, belajar dan beberapa perkara yang lain, maka janganlah kita mengambil hal yang dilonggarkan ini dalam keadaan mengambil kesempatan atau menganggapnya isu yang picisan dan remeh temeh.

Tidak dapat dinafikan arus globalisasi yang mengancam jiwa pemuda, antaranya dalam faktor nilai mas kahwin dan kos perbelanjaan majlis perkahwinan yang tinggi antara faktor budaya yang memberi kesan kepada pemuda-pemuda zaman kini. Adapun perkara tersebut, berpuasalah bagi yang mereka yang belum mampu dan mempunyai bebanan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dan sedarlah bahawa persiapan terpenting adalah diri anda itu sendiri, iaitu dari faktor keimanan, kejiwaan, dan keilmuan.

Adapun faktor ekonomi, dan faktor-faktor lain, yang memberi kesan secara tidak langsung  tetapi hakikatnya ianya bukan menjadi faktor utama. Yakinlah jika jalan yang anda ambil ini untuk membantu agama Allah, Allah akan membantu kamu.

Singa di siang hari, Abid di malam hari

Akhir kata, kita sebenarnya rijal yang merupakan sang singa yang sangat digeruni, akan tetapi atas beberapa hambatan yang mencengkam telah menyebabkan banyak sang rijal yang dulunya kuat mengaum, tetapi kini menjadi sang kijang yang terkinja-kinja kesakitan bila diserang dan dibaham.

Saya menyeru kita semua termasuk diri ini yang banyak kekhilafan ini untuk kita kembali menjadi sang rimba dan menjadi rijal jantan untuk membawa risalah ini.

Manakala mengenai isu jiwang yang berkait rapat dengan wanita, pesanan terakhir saya dan penutup ialah dengan satu pesanan daripada seorang akh (saudara) kepada saya satu ketika dahulu, kata-kata beliau telah membuatkan saya berfikir dan bermuhasabah, semoga ianya membuatkan anda yang membaca berfikir juga.

Katanya:
“Biar kita tidak dapat wanita yang kita minati di dunia ini, tapi janganlah kita terlepas akan bidadari di syurga nanti”

Ahmad Naqiudin Bin Mohd Tahir
Presiden 
PEMBINA UPM
Bacelor Perakaunan, Tahun Ketiga, UPM

sumber: pembinabangi.com

0 komen:

Catat Ulasan