TAHNIAH PIMPINAN PEMBINA UPM SESI 2014/15

Majlis Tertingi PEMBINA UPM sesi 2014/15

Dewan Putra 3, KPZ, UPM- “ Mahasiswa memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara kearah sesuatu yang lebih baik walaupun terdapat pelbagai ancaman yang melanda para pemuda kini iaitu serangan pemikiran seperti  liberalisme, sekularisme, pluralisme dan LGBT. Jadi, mahasiswa bertanggungjawab dalam usaha merungkai permasalah ini.”

Demikian adalah kata saudara Azlan, Timbalan Presiden PEMBINA Bangi dalam Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA UPM yang pertama kali diadakan sejak tertubuhnya PEMBINA di UPM. Selaku jawatankuasa cawangan yang mempunyai pengalaman dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini, beliau dijemput untuk memberikan taujihat kepada ahli-ahli tanzim bagi sesi 2014/2015.

“Mahasiswa mahupun ahli PEMBINA itu sendiri harus menitikberatkan kefahaman al-quran dan sunnah dalam menyebarkan dakwah.”tambah saudara Azlan lagi.

Beliau mengajak mahasiswa mencontohi tokoh-tokoh Islam terdahulu seperti Saidina Ali yang sudah memeluk Islam berusia 10 tahun dan juga kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah berjaya menakluki Konstantinopel dalam usia yang muda.

Saudara Azlan turut menekankan situasi mahasiswa kini yang tidak tahu membezakan sama ada perkara yang dilakukan oleh mereka benar atau salah kerana mereka merasa dalam zon selesa. Beliau menyeru kepada pimpinan PEMBINA UPM supaya mendedahkan fahaman yang sebetulnya kepada mahasiswa.

“ Saya merasa bangga dengan kewujudan pelbagai persatuan belia yang menekankan konsep dakwah dan tarbiyah dan salah satu persatuan tersebut adalah PEMBINA kerana PEMBINA mempunyai matlamat dalam membentuk sebuah negara Islam yang utuh berlandaskan al-quran dan sunnah”,jelas saudara Azlan.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan ribuan tahniah kepada pimpinan baru PEMBINA UPM.

Seterusnya, mantan Presiden sesi 2013/2014, saudara Luqman Abdul Hamid juga memberi ucapan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA UPM. Beliau mengharapkan barisan PEMBINA UPM yang baru harus mengimani dakwah di UPM dan harus disampaikan seluas mungkin kepada seluruh dunia.

“Saya mengharapkan yang terbaik dalam tanzim PEMBINA UPM yang baru dan kalian semua harus fikirkan strategi untuk menjadikan semua ahli PEMBINA sebagai aktivis yang aktif dalam menyebarkan dakwah Islam.”terang saudara Luqman.

Kepimpinan PEMBINA UPM yang baru dilantik bagi sesi 2014/2015 secara rasminya diketuai oleh saudara Ahmad Naqiuddin Mohd Tahir, pelajar tahun 3 jurusan Bacelor Perakaunan. Manakala, ketua beliawanis yang baru disandang oleh saudari Nur Nazhifa Ab. Rahman, tahun 2 dalam jurusan Major Matematik.

Wartawan:
Noor Khairina,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan