Ucapan Presiden Pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-4

Yang Berbahagia Saudara Ibrahim Azran, Pengerusi PEMBINA Cawangan Bangi.
Yang Dikasihi Saudara Najmi Ghazali, Mantan Presiden PEMBINA UPM. 
Yang Dihormati Saudari Nazatul Shima, Mantan Ketua Beliawanis Pembina UPM. 
Yang Berusaha Saudara Shakirin Amir, selaku Pengarah Mesyuarat Tahunan PEMBINA UPM kali ke-4,
Barisan kepimpinan yang lama dan baharu
serta ahli-ahli PEMBINA seterusnya hadirin hadirat sekalian.

Assalamualaikum w.b.t.

1.        Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana berasa sedikit gugup berdiri di atas pentas ini kerana ini merupakan kali pertama saya memberikan ucapan sebagai Presiden PEMBINA UPM. Saya juga tidak berhajat untuk berucap panjang kerana suara inilah yang akan anda dengar sepanjang sesi hadapan. Saya masih ingat lagi sebelum ini, ketika saya duduk sebaris dengan anda semua di barisan pimpinan di bawah selaku Timbalan Presiden, sungguh tidak pernah terlintas difikiran mahupun di lubuk hati, bahawa suatu hari nanti saya akan berucap di atas pentas ini sebagai seorang Presiden. Namun, insyaAllah dengan kudrat yang diberikan ini, saya akan cuba yang terbaik.

2.        Saya cukup tertarik dengan ucapan yang diberikan oleh mantan Presiden kita sebentar tadi, beliau ada menyebut bahawa Pembina di UPM pada 5 tahun yang lalu merupakan sebuah persatuan yang terhebat di UPM mahupun di peringkat IPT sehingga menjadi rujukan IPT seantero Malaysia. Walaupun pada masa itu saya belum lagi berada di sini, namun menjadi harapan saya yang kita mampu mengembalikan semula zaman emas itu. Jika dahulu kita mampu menjadi sehebat itu, mengapa tidak hari ini?

3.        Oleh itu di kesempatan ini, saya ingin merayu kepada anda semua untuk pinjamkan masa, tenaga dan harta anda semua untuk kita bersama-sama berusaha dalam mencapai aspirasi Pembina di UPM dan mengembalikan zaman kegemilangan kita seperti suatu ketika dahulu.

4.        Pimpinan terdahulu pernah mengatakan sebegini kepada pengikutnya, “Janganlah bekerja untuk saya, tetapi bekerjalah bersama-sama dengan saya”. Namun pada malam ini saya ingin mengubah sedikit kata-kata beliau kerana di PEMBINA, teras utama kita adalah dakwah dan tarbiah. Oleh itu, “janganlah bekerja untuk saya, tetapi bekerjalah untuk mencari keberkatan dan keredhaan Illahi”.

5. Dengan itu, saya akhiri ucapan dengan wabillahitaufiq walhidayah,
Wassalamualaikum w.b.t.

Sekian.

Muhammad Alif bin Azali,
Presiden PEMBINA UPM 17/18.

**Mei 19, 2017

0 komen:

Catat Ulasan