MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA 2015



MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA 2015 – Anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan  Sahabat Surau Serumpun telah diadakan pada 24 Disember 2015 bersamaan 12 Rabi'ul Awal bertempat di Surau Kolej Serumpun, UPM.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Majlis pada malam ini berakhir dengan suasana penuh keserdahanaan di bawah titisan renyai-renyai hujan rahmat yang turun selepas azan maghrib dikumandangkan. Setelah solat maghrib berjemaah didirikan, ahli syurga di surau bersama-sama melaksanakan solat hajat untuk pemohonan dipermudahkan urusan peperiksaan akhir semester yang akan berlangsung bermula isnin minggu hadapan. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan pengisian ketulan emas-emas syurga melalui bacaan yaasin, selawat, wirid dan diakhiri dengan senjata mukmin (doa).

PEMBINA mengambil kesempatan ini untuk memanggil penceramah, Saudara Syafiq Syahmi, alumni PEMBINA UPM bagi menyampaikan satu slot pengisian tentang tajuk ‘Rasulullah Pelopor Kesatuan Ummah’ bersempena dengan sambutan Maulidurrasul pada malam ini. Penyampaian yang cukup mantap dan sangat menarik untuk diteliti dan direnungi oleh semua para jemaah surau. Bagaimana kita ingin mengenali seseorang? Dan bagaimana pula untuk kita mencintai seseorang? Tidak kenal maka tidak cinta.  Betul! Tepat sekali penyataan itu. Berimannya seseorang kepada ALLAH S.W.T setelah mengenali siapa Tuhan yang satu dan Maha Esa itu melalui sifat-sifat indah yang dimilikiNya. Begitulah juga untuk kita berkenalan dengan siapa kekasih ALLAH S.W.T. Tidak lain dan tidak asing lagi di pandangan mata serantau ummat manusia di muka bumi ini iaitu baginda, Rasulullah S.A.W. Siapakah orang yang hebat ini? Orang hebat ini adalah utusan ALLAH S.W.T yang paling agung untuk dibicarakan tentangnya. Baginda merupakan agen penyatuan ummah sewaktu zaman kenabian dan kerasulan yang pada ketika itu ummat manusia dalam keadaan porak-peranda dengan perpecahan di kalangan kabilah hasil campur tangan puak Yahudi yang sejak azali lagi tidak menyukai kegemilangan dan kemenangan Islam terpacak di atas muka bumi ini. Pada ketika itu, persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar telah menjadi satu alat yang cukup produktif dalam menghasilkan penyatuaan ummah di bawah pimpinan dan kendaliaan Rasulullah S.A.W.

Jika di undur kepada zaman ketika itu, sebenarnya zaman sekarang ini telah kembali kepada zaman dahulu. Di mana Islam pada hari ini telah berpecah-belah kerana membawa kepentingan diri sendiri dan tidak lagi menjadikan Islam itu adalah tempat yang paling utama untuk diperjuangkan. Ummat masih belum sedar bahawa sekarang ini musuh Islam sedang bersorak riang melihat keadaan ummat pada hari ini. Mereka sudah berjaya melihat Islam itu ditindas, dipijak dan dijaja dengan makian yang cukup membingitkan. Inikah yang kita mahukan sebenarnya? Jika Rasulullah S.A.W melihat ummat yang baginda kasihi pada hari ini, sudah pasti baginda akan menangis. Menangis tatkala mengenangkan perjuangan dakwah baginda selama 13 tahun adalah sia-sia. Sedangkan pada ketika itu, baginda sanggup besusah-payah mengorbankan nyawa, harta, pangkat dan keluarga hanya kerana ingin memastikan Islam terus tertegak di atas muka bumi ini dan memastikan generasi akan datang merasai nikmat Islam. Siapa generasi itu? Kita adalah generasi itu.


Wahai pewaris syurga ALLAH S.W.T., ayuhlah kita sama-sama bersatu demi menyelamatkan satu payung yang sudah berat dan penat terbeban dengan hujanan dari batu-batu yang memedihkan. Musuh tidak akan pernah berhenti dan berpuas hati selagi tidak melihat Islam itu hancur. Strategi demi strategi dirancang dalam memastikan kita menjadi umpan mereka untuk memecah belahkan agama kita sendiri. COMANGGO, LGBT, SEKULAR dan pelbagai lagi bentuk ancaman yang bergerak secara halus dan senyap tanpa sedar. Jangan menjadikan perjuangan Rasulullah, para sahabat, Khulafa Ar-Rasyidin dan barisan Ikhwanul Muslimin berakhir dengan debu sia-sia. Berkasih sayang seperti kaum Muhajirin dan Ansar dalam mengembalikan semula jalur kegemilangan Islam. Jaga hak dan tanggungjawab diri sendiri serta orang lain. Sekarang bukan masa untuk setiap persatuan menunjukkan belang dan taring masing-masing, tetapi hari ini adalah masa untuk duduk satu meja, berbincang secara pemikiran terbuka tentang penyelesaian masalah ummat dan abaikan kepentingan dan keegoan dir demi sebuah Islam yang tercinta. Ummat sekarang sedang tenat. Oleh itu bersatulah untuk mencapai satu muafakat yang berkat di sisi ALLAH S.W.T. 

Pengisian yang cukup mantap sempena Maulidurrasul kali ini kerana aspek sunnah yang perlu diikuti oleh ummat hari ini bukan hanya tertakluk pada cara penampilan, makanan dan lain-lain, tetapi sunnah berjuang dalam menyatu padukan ummat pada hari ini. Program ini telah dihadiri lebih 100 pelajar Universiti Putra Malaysia dan diharapkan kerjasama yang dilakukan oleh badan dan persatuan-persatuan Islam di sini akan berterusan.


Wan Norkhalida
Ahli Biro Tarbiyah dan Dakwah
PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan