Tanggal 12 Rabi’ul Awal merupakan titik tolak hari penuh ceria bagi semua manusia. Dunia menyambutnya dengan penuh kegirangan tatkala seorang insan lahir yang bakal menerangi manusia daripada kegelapan, mengisi ruang jiwa yang kekosongan, dan memberi sinar cahaya dan pengharapan daripada kekaburan dan ketidakpastian. Bagindalah Nabi Muhammad S.A.W insan agung yang disebutkan. Sesungguhnya kehadiran Baginda S.A.W ke dunia sememangnya membawa deen al-Islam untuk manusia berpaut di atas satu aqidah yang benar dan sejagat. Sempena ketibaan Maulidur Rasul 1437H, “Muhammad Penyatu Ummat” merupakan tema yang ingin dihuraikan dan dikongsikan buat seluruh pembaca.
Sebelum diterangkan
kaedah-kaedah yang dilakukan Nabi Muhammad dalam menyatukkan ummat, mari kita
lihat definisi daripada tema yang dinyatakan. Muhammad S.A.W, nabi terakhir dan
kekasih Allah yang sangat istimewa. Mukjizat baginda ialah kitab Al-Quran yang
sempurna daripada kitab-kitab nabi terdahulu. Kata nama “penyatu” bersinonim
dengan pengukuhan, penggabungan, peneguhan, pemantapan, penguatan,
penegapan, pengeratan, pengakraban, pemaduan, penghubungan, integrasi. Manakala
perkataan “ummat” bersinonim dengan segolongan manusia (bangsa), sekumpulan manusia. Oleh itu, apakah yang dikatakan dan
bagaimana Nabi Muhammad menyatukan ummat sejak dari zaman sahabat sehingga
sekarang?
Nabi Muhammad S.A.W
menyatukan ummatnya menggunakan kaedah pertama, iaitu pembinaan sebuah daulah
Islamiyah (negara Islam). Penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah suatu
tindakan yang tepat selaku khalifah (pemimpin) ummat Islam ketika itu. Hal ini
tidak lain tidak bukan bagi menyatu padukan ummat di kawasan penghijrahan Nabi
Muhammad khususnya, iaitu ketika ketibaan rombongan baginda di Madinah terdapat
dua golongan penduduk terbesar, orang Arab dan Yahudi, orang Arab Islam terdiri
daripada suku kaum Aus dan Khzaraj yang digelar sebagai Ansar (golongan penolong),
orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin
(golongan pendatang), dan orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa
kumpulan antaranya ialah Bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir. Oleh kerana berlaku
keadaan gawat di Madinah di antara orang Ansar, Muhajirin, dan Yahudi, Rasullah
s.a.w membuat perjanjian dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis
satu undang-undang Islam pertama di dunia yang disebut sebagai Sahifah
al-Madinah.
Maka kaedah yang kedua
dalam menyatukan ummat baginda adalah dengan lahirnya undang-undang Islam iaitu
undang-undang bertulis yang pertama di dunia, Sahifah al-Madinah. Piagam Madinah
berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana
perlembagaan ditulis oleh pemimpinnya sendiri iaitu Nabi Muhammad S.A.W untuk
diterima pakai oleh rakyatnya, penduduk Madinah. Bagaimana Piagam Madinah ini
berjaya menyatukan penduduk di negeri ini ialah penerimaan Rasullah sebagai
Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai
pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai
bangsa. Selain itu, orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat, baginda memberi kebebasan
menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk, semua penduduk
Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara, dan
banyak lagi. Justeru itu, kehadiran undang-undang Islam Piagam Madinah
menjadikan pihak kafirun mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama,
Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Pesuruh
Allah yang sebenar.
Kaedah yang ketiga dalam menyatukan ummat ialah menghapuskan
diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Hakikat
kaum-kaum di bawah pemerintahan Nabi Muhammad ialah orang Ansar dari suku kaum
Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman
lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung
halaman mereka. Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan
mengkhianati Rasullah S.A.W dan pengikutnya. Orang Munafik perlu menjadi musuh
dalam selimut dan Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha
untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam. Oleh itu, Rasulullah
meletakkan syarat kepada penduduk di bawah pemerintahan Baginda bahawa setiap
penduduk hendaklah hidup sebagai satu ummat yang tidak terpengaruh dengan
sebarang elemen yang tidak baik dari luar, hidup dengan bersatu-pada,
berkerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara daripada serangan
musuh.
Akhir kalam, pembinaan daulah Islamiyah, penyeragaman
undang-undang dan syariat Islam, serta penghapusan diskriminasi dan semangat
assabiyah mampu menyatukan ummat. Ia tidak terhad kepada sesuatu tempoh kerana
pada hakikatnya kekal sehingga zaman berzaman selagi mana Al-Quran dan as
sunnah menjadi pengangan dan sumber rujukan utama bagi sesebuah bangsa. Melihat
rentetan sejarah, daulah Islamiyah yang dibina kekal sehingga tujuh abad
lamanya selepas Rasulullah S.A.W kerana rantai perjuangan oleh generasi ummat
seterusnya adalah sama. Hal ini kerana deen al Islam kekal teguh di atas aqidah
yang satu dan benar. Aqidah benar yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, nabi
terakhir inilah yang menyatukan jiwa-jiwa setiap insan membentuk ummat paling
istimewa di mahsyar kelak apabila dipilih Allah menjadi ummat pertama yang akan
dihisab. Ummat isitimewa ini juga adalah ummat hebat yang paling disayangi Nabi
Muhammad kerana perjuangan baginda diteruskan sungguhpun mereka ini tidak
pernah bertentang mata dengan baginda, dan ummat penerima kitab paling sempurna
Al-Quran kalamullah untuk pegangan di akhir zaman. Tidak pelik sekiranya Barat
amat mencemburui baginda Muhammad S.A.W sehingga menggelarkan the greatest
man in the world, most admired person dan berbagai-bagai gelaran
lagi yang diberikan pada hari ini.
“Sesungguhnya
Allah telah memberi kurniaan besar kepada orang-orang beriman apabila Dia
mengutuskan di antara mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri yang
mendakwahkan ayat-ayat Allah, menyucikan mereka (daripada syirik dan kufur) dan
mengajar Al-Kitab (al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah), padahal sebelum ini
mereka di dalam kesesatan yang nyata.”
(Ali Imran:
164)
Wallahua’lam.
NAZATUL SHIMA
BINTI MASRI
KETUA BELIAWANIS
PEMBINA UPM
KETUA BELIAWANIS
PEMBINA UPM
0 komen:
Catat Ulasan