Riadah : Moving Your Heart, Mentadabbur Alam dan Merapatkan Ukhwah

Peserta bergambar ceria di puncak Bukit Broga.

7 Dis, Bukit Broga, Semenyih – Bertemakan “Moving Your Heart, Mentadabbur Alam dan Merapatkan Ukhwah”, satu program riadah ke Bukit Broga telah dianjurkan oleh PEMBINA UPM.

"Kita harus senantiasa mencari cinta Allah S.W.T, cinta yang kekal abadi, agar hati kita sentiasa berada dalam keimanan dan ketaqwaan kepada Allah secara menyeluruh. Apabila hati sudah mula jatuh cinta pada yang Maha Esa, hati ini  akan merasa 'getaran cinta' yang lebih hebat dari cinta pada manusia. Lantas, terasa ingin senantiasa memuji dan kagum dengan setiap yang di cipta-Nya", kata saudari Noraziah semasa pengisian ringkas di puncak Bukit Broga.

Program bermula pada pukul 3.30 pagi di mana semua peserta berkumpul di Kolej Canselor, UPM sebelum bertolak ke Bukit Broga. Seterusnya, para perserta bertolak dari UPM pada pukul 4.00 pagi dan pendakian bermula seawal 5.00 pagi dan berakhir pada pukul 6.15 pagi.

Setibanya di puncak, para peserta mengambil tempat untuk membuat persiapan solat Subuh secara berjemaah. Setelah selesai solat, sebelum ke slot yang seterusnya, para peserta berkesempatan membaca Al-Mathurat beramai-ramai.

Slot yang seterusnya setelah sampai ke puncak, sedikit perkongsian antara ahli PEMBINA UPM telah dilakukan bagi bertujuan berkongsi perasaan atau pengalaman semasa mendaki Bukit Broga. Salah seorang daripada peserta iaitu saudari Azrin berkongsi rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana diberi peluang sampai ke puncak untuk menghayati keindahan ciptaan yang Maha Kuasa.

Pemandangan pagi yang indah: Litupan awan dan kabus menyejukkan mata hati

Seterusnya, sedikit pengisian telah disampaikan oleh saudari Noraziah binti Zainul Abidin, dari Biro Tarbiyah dan Dakwah PEMBINAUPM, mengenai penghijrahan hati kepada Allah S.W.T secara menyeluruh kerana Allah S.W.T telah mengurniakan nikmat Iman, Islam serta tubuh badan yang sihat sehingga mampu untuk sampai ke puncak Bukit Broga.

Saudari Noraziah juga mengajak para peserta agar merenung kembali setiap perkara yang telah dilakukan sepanjang tempoh usia yang Allah berikan kerana nikmat masa dan usia kita semua akan dipersoalkan nanti diakhirat kelak.

Objektif utama bagi program ini telah tercapai dengan kerjasama yang sangat baik oleh para peserta iaitu untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan mental ahli beliawanis PEMBINA UPM. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah serta memberi peluang kepada ahli PEMBINA untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Setelah selesai slot pengisian, pada pukul 8.30 pagi, kesemua para peserta turun daripada puncak Bukit Broga untuk pulang semula ke UPM.

Antara gambar menarik sepanjang program:

 Peserta berkumpul di surau KC sebelum bertolak


 Tiba di puncak: Tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar

Sebelum: Kegelapan masih menutupi, hanya cahaya disuluh menerangi lalang ini.

Selepas: Sinaran matahari menerangi SELURUH alam, betapa hebatnya kehendak Allah S.W.T.


 Subhanallah: Kita hamba Allah yang harus sentiasa kagum serta memuji kehebatan Pencipta-Nya.

0 komen:

Catat Ulasan