FORUM SELAMATKAN AKIDAH UMMAH






Dewan PJSD, Kolej Serumpun, UPM- Pada 2 Mei 2015 telah berlangsung Forum Selamatkan Akidah Ummah. Forum yang diadakan ini merupakan acara kemuncak bagi program Kempen Selamatkan Ummah dengan tema “Akidah Teguh Ummah Terperihara” yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Putra Malaysia, PEMBINA UPM. Kempen yang dianjurkan ini berlangsung selama sebulan bermula pada 19 April sehingga 2 Mei.

Panel jemputan ialah Ustaz Syed Ahmad Israa Syed Ibrahim dan ditemani oleh  saudara Muhammad Nasaruddin selaku moderator bagi bersama-sama membincangkan topik yang bertajut Selamatkan Akidah Ummah.
Panel jemputan bersama moderator


“Liberalisme ini wujud sejak zaman kegelapan Eropah yang mencatatkan satu zaman di mana ketika itu manusia berada dalam keadaan gelap gelita tanpa sinar ilmu, jahiliyah. Barat berada di zaman kemuncaknya apabila golongan gereja dan penguasa menekan dan menindas rakyat Eropah pada ketika itu sehingga ia membentuk satu dorongan yang kuat untuk bebas dari cengkaman gereja dan cengkaman ekonomi yang lembab”, jelas Ustaz Syed Ahmad ketika ditanya mengenai asal usul kewujudan konsep liberalisme.

Ustaz Syed Ahmad juga menjelaskan bahawa liberalisme yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh akal dan nafsu manusia melebihi wahyu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT iaitu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

“Kita sebagai umat Islam harus meletakkan diri pada tempat yang sepatutnya dan kita harus tahu hak asasi yang dituntut dalam Islam adalah apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan kita seharusnya dapat membezakan hak asasi barat yang hanya berlandaskan kebebasan tanpa sebarang ikatan.” Terang Ustaz Syed Ahmad ketika ditanya mengenai sejauh mana hak asasi manusia ini diperjuangkan.

“Kebebasan yang diperjuangkan oleh barat hanya akan menjerumuskan kepada kehancuran semata-mata kerana ianya bersifat tanpa sempadan untuk bebas daripada undang-undang.” Tambah Ustaz Syed Ahmad.
Ustaz Syed Ahmad menegaskan bahawa aliran pemikiran liberalisme yang dicipta oleh Barat ini hanyalah untuk mengelirukan umat Islam mengenai ajaran fahaman Islam yang sebenarnya.

“Kita perlu membina kekuatan akidah serta kefahaman mengenai Islam dan harus fahami kalimah syahadah secara mendalam agar tidak mudah terpengaruh dengan konsep-konsep pemikiran yang dibawa oleh Barat.” Jelas Ustaz Syed Ahmad sebagai saranan atau langkah yang patut diambil oleh mahasiwa untuk mencegah diri daripada ancaman-ancaman yang membawa kepada keruntuhan akidah umat Islam.

Pada akhir forum ini, PEMBINA UPM telah menjemput kumpulan nasyid FETYA bagi melakukan persembahan nyanyian nasyid yang ditujukan khas buat mahasiswa mahasiswi UPM.

Wartawan Biro Media dan Promosi, PEMBINA UPM
Noor Khairina bt Mohd Said.


0 komen:

Catat Ulasan