Sinar Pemuda



UPM, 29 APRIL 2015 - “Allah cintakan manusia yang bertakwa, tetapi Allah lebih mencintai PEMUDA yang bertakwa”, kata Saudara Ahmad Shukeri Azizan semasa program Usrah Umum di Surau Serumpun, UPM dengan tajuk Sinar Pemuda.

Saudara Ahmad Shukeri menerangkan antara sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang pemuda itu ialah beriman, tarbiyah, dakwah serta sabar. Antara ciri-ciri orang yang beriman pula ialah solatnya khusyuk, bergetar hatinya apabila mendengar laungan azan, serta beramal soleh. Kesemua ciri ini dapat diperolehi melalui tarbiyah. Namun, apa itu tarbiyah?

Tarbiyah merupakan proses tambah baik diri menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya. Lumrah manusia itu sukakan perkara yang baik. Tidak ada seorang pun yang ingin bergelumang dengan dosa buat selamanya, kerana jauh dilubuk hati kita pasti inginkan ketenangan dan ingin kembali pada lumrah manusia itu sendiri.

Tanya pada diri kita sendiri adakah kita sudah beransur-ansur berubah menjadi lebih baik? Adakah kita sudah menyediakan diri untuk menunaikan  tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi seperti yang dituntut oleh Pencipta kita? Jadilah manusia yang bermanfaat buat diri malah buat sekalian manusia yang lain juga.

“Sentiasa muhasabah diri yang mudah lupa ini dengan tujuan utama kita mengikuti tarbiyah. Jika kita ingin berubah, berubahlah dengan sebaiknya supaya mereka disekeliling kita juga mendapat manfaat hasil dari perubahan diri kita. Secara tidak langsung kita sudah punyai sifat pemuda yang seterusnya iaitu berdakwah dan jalan dakwah itu pastinya memerlukan kesabaran”, terang Saudara Ahmad Shukeri lagi yang juga merupakan penulis buku Bedtime Story Sentap.

Semoga kita senantiasa memperoleh hidayah-Nya. Sekali hidayah menyapa diri, sambutlah ia dengan rasa syukur, kerana jika kita menolaknya, belum tentu ia akan menyapa kembali.

Program usrah umum tersebut yang merupakan salah satu slot program Kempen Selamatkan Ummah(KSU) anjuran PEMBINA UPM mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar UPM yang menjadi harapan kepada Sinar Pemuda.

Galeri:

Saudara Ahmad Shukeri menerangkan peranan pemuda


Muslimat khusyuk mendengar dan memahami apa yang disampaikan



Sebahagian yang mendaftar sebagai ahli baru PEMBINA UPM


Wakil PEMBINA UPM menyampaikan cenderahati kepada Saudara Ahmad Shukeri


Oleh:
Saudari NorAziah,
Wartawan PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan