Pengertian Maal Hijrah yang Sebenar

Pada Khamis ini,  kita akan melangkah ke satu tahun baharu, 1434 Hijrah. 1434 tahun berlalunya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bersama umat Islam Mekah ke Madinah. Banyak peristiwa dan senario hijrah yang boleh diambil sebagai pengajaran dan pedoman buat umat Islam pada zaman sekarang. Ummu Aiman dan anaknya, Suhaib bin Amru, Umar al-khatab dan lain-lain, siapa yang tidak mengenali mereka ini? Para sahabat yang sanggup berhijrah tanpa mempersoalkan perintah berhijrah. Mereka inilah yang sanggup meninggalkan harta mereka di Mekah. Subhanallah. Jika ia terjadi pada kita, bagaimanakah pula reaksi kita?

Takwim Hijrah ini diwujudkan hanyalah 11 tahun selepas peristiwa hijrah ini berlalu. Banyak pendapat dan cadangan bagi memilih permulaan takwim Islam pada zaman khalifah Saidina Umar al-khatab. Ada yang memilih ingin memulakan pada tarikh lahirnya Nabi Muhammad, ada juga yang ingin memulakannya pada tarikh perlantikan Nabi Muhammad sebagai Rasul. Pandangan untuk memulakan takwim pada tarikh lahir atau perlantikan Nabi disangkal atas tujuan tidak mahu menyerupai orang Kristian yang memulakan tahun masihi pada tarikh Nabi Isa lahir. Akhirnya keputusan sepakat tercapai iaitu tahun bermulanya hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah dipilih sebagai kalendar Islam.

Konteks hijrah adalah lebih luas dan ia bukan sekadar penghijrahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Jika dilihat kembali siratan sejarah lalu, Rasulullah SAW bersama umat Islam berhijrah, kemudian beliau telah merancang dan merencana strategi yang berkesan untuk menyampaikan seruan Ilahi iaitu Islam kepada orang ramai, disamping mengembeleng dan mengukuhkan kuasa umat Islam ketika itu. Inilah konsep hijrah yang sebenar. Marilah kita sama-sama fahami konsep sebenar Hijrah. Janganlah hanya sekadar meraikan Hijrah. Hijrah juga bukan hanya berubah dari sifat buruk kepada baik, berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi ia mempunyai konteks yang lebih luas.

Hijrah itu Pengorbanan, Hijrah itu Perjuangan,

Hijrah itu Persaudaraan, Hijrah membentuk Perpaduan.

Justeru, saya mengajak semua agar kita memahami konsep sebenar Hijrah pada abad ini. Bukan sekadar slogan atau kata-kata. Pada fatrah ini, kita sedang dilanda dengan pelbagai ancaman dan agenda-agenda yang bertujuan untuk menghancurkan akidah umat Islam terutama di Malaysia. Antaranya ialah serangan pemikiran seperti liberlisme, pluralisme, sekularisme, Kristianisasi dan lain-lain. Adakah kita peka atau celik dengan ancaman-ancaman ini?

Saya menyeru kepada semua mahasiswa/i untuk sama-sama kita buka mata kita, buka fikiran kita, muhasabah kembali diri kita agar kita peka dan sedar dengan anasir-anasir ini. Janganlah kita bersubahat dalam menggalakkan ancaman-ancaman ini.

Riwayat hadis mengatakan:
“Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu semua dari segala penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengerumuni dulang berisi makanan.”

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?”

Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kamu amat ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di air bah. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu. Dan Allah mencampakkan dalam hati kamu al-Wahn.”

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Wahn?”

Rasulullah menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, 37/82, no. 22397. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth. Abu Daud, 11/371, no. 3745. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Jika dilihat dalam konteks belia di negara kita ini, mereka mula hilang jati diri mereka sebagai seorang Muslim dan juga sebagai Melayu. Rata-rata yang beragama Islam adalah majoritinya berbangsa Melayu. Belia ini mula larut dalam dunia mereka tersendiri, gila hiburan, maksiat dan gangsterisme dan lain-lain. Lihatlah di penjara-penjara dan pusat serenti, pasti di sana dipenuhi dengan orang Melayu yang merupakan orang Islam. Astagfirullah.

Hal ini berlaku kerana, orang Islam mula hilang jati diri, bertuhankan politik, bertuhankan parti, mementingkan diri sendiri dan bersikap assobiyah. Kembalilah kepada Al-Quran dan As-sunnah. Mulakan tahun ini dengan keazaman dan misi serta visi yang lebih baik. Jangan sesekali menyesal atau terkilan jika azam sebelum ini tidak terlaksana atau tercapai. Kita telah mencuba dan berusaha untuk melaksanakan setiap matlamat, namun tidak semuanya akan terhasil.

InsyaAllah, gerakan PEMBINA UPM akan lebih lancar dan terancang dalam tahun baharu ini. Hala tuju PEMBINA UPM adalah ingin menghasilkan insan-insan hasil tarbiyah, melahirkan dan mewujudkan pemimpin-pemimpin, serta menjadi ‘front pilot’ dalam arena dakwah di UPM. Moga-moga PEMBINA UPM dapat melaksanakan setiap visi ini.

Kekuatan Jemaah tidak datang daripapa semangat, tetapi ia datang melalui kefahaman mengenai dakwah. Saya amat menekankan akan pentingnya ilmu dalam kehidupan ini. Jangan bertindak melulu, jangan terjatuh tanpa menyelidiki dahulu. Kita sebagai mahasiswa, perlulah bergerak berdasarkan hujah dan dalil yang bernas. Marilah bersama PEMBINA untuk kita bergerak bersama bagi menyampaikan mesej Islam dan menyeru semua manusia kepada Allah dan Rasul. Marilah kita Meneraju Arus Mahasiswa.

oleh:

Syafiq Syahmi Sazali
Presiden PEMBINA UPM 2012/13

0 komen:

Catat Ulasan