Analisis Mesir - Perjuangan tanpa henti


Setahun selepas gerakan menjatuhkan diktator sepanjang hayat (Mubarak), Mesir mengorak langkah dengan cemerlang apabila kumpulan Islam terutamanya daripada Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dan Parti An-nour (Salafi) memenangi jumlah kerusi yang selesa mengatasi parti liberal (Al-Wafad).

Perjalanan FJP dalam membawa agenda Islam pasca-revolusi Mesir bukanlah satu jalan yang mudah. Mohammad Mursi calon untuk kerusi presiden Mesir terpaksa bersaing sengit melawan Ahmed Syafiq yang yang merupakan anggota saki baki regim Mubarak. Walaupun begitu, sudah menjadi kebijaksanaan Allah, mentakdirkan kemenangan berpihak kepada Mursi untuk menjadi lelaki paling berkuasa di negara teluk itu.

Mursi sebagai presiden baru Mesir.

Kemenangan Mursi, mencetuskan degupan jantung kencang kepada Amerika Syarikat dan Israel setelah bertahun-tahun lama mereka bersahabat baik denganpemerintahan regim Mubarak. Ketika itu Mesir merupakan rakan utama mereka terutamanya dalam menjaga keselamatan Israel dan juga perang terhadap golongan jihad. Keutuhan persahabatan Mesir-Amerika dapat dilihat menerusi kesangupan Amerika Syarikat menyalurkan hampir 70 billion dollar US setiap tahun untuk pembangunan ekonomi dan persediaan ketenteraan kepada Mesir sahaja. Satu jumlah yang telah menjadikan Mesir pak turut kepada Amerika dalam menjaga kepentingan mereka di negara teluk.

Apa yang pasti, keselamatan Israel menjadi semakin tidak menentu apabila Mursi menjadi pimpinan Mesir, parti AK pula menguasai pimpinan Turki dan Syiria akan dimenangi oleh kaum mujahidin. Ini pasti akan menjadikan Israel sebagai 'ground zero' pada masa hadapan nanti. Tiada lagi tempat untuk berteduh apabila satu perang yang hebat berlaku nanti.

Ekonomi

Bagi memulihkan negara daripada kesan pemerintahan Mubarak adalah satu misi mustahil buat pemerintah baru Mesir. Surriyah (revolusi) yang dimahukan oleh rakyat bukanlah bersifat ketauhidan tetapi rakyat mahu berubah dari kelembapan ekonomi serta sistem hidup yang teruk kepada kesejahteraan yang tiada rasuah didalamnya serta sumber ekonomi yang mampu memberikan pekerjaan dan wang kepada rakyat. Suatu hakikat yang perlu kita sedari tentang negara pengimport gandum terbesar dunia ini adalah mereka sedang menghampiri kebankrapan ekonomi.

Sejak beberapa bulan yang lepas, Mursi terpaksa meminta simpati daripada dunia untuk memulihkan ekonomi mereka bahkan terpaksa meminjam daripada tabung pinjaman dunia (IMF) demi menyelamatkan revolusi daripada jatuh kepada pihak sekular liberal.

Perubahan pemerintahan

Semasa seratus hari pemeritahan Mursi, beliau telah berjanji akan ada perubahan terhadap sisa pembuangan sampah yang tidak terurus, keadaan trafik yang perlu dipulihkan serta masalah kekurangan bekalan makanan dan minyak diseluruh Mesir.

Perubahan yang dibawa oleh Mursi tidak berhenti setakat itu. Beliau membuka laluan kepada kebebasan hak bersuara buat rakyatnya terutama kepada pihak media, satu perkara yang amat dikawal ketat semasa rejim Mubarak bertakhta (rejim Mubarak menyekat kebebasan media dengan menangkap para blogger yang menentang kerajaan).

Lebih membanggakan lagi apabila Mursi telah menampilkan watak cemerlang beliau dengan menjadi orang tengah yang membawa perdamaian antara Gaza dan Israel dalam perang baru-baru ini.

Halangan Mursi

Sebagai seorang yang dilahir dan ditarbiyah oleh Ikhwanul Muslimin, tugas Mursi bukanlah sekadar membawa perubahan fizikal dalam masyarakat, bahkan lebih daripada itu. Beliau perlu membawa kesegaran nurani dan menukar singa yang dikijangkan Barat dengan menyadur sinar tauhid dalam diri rakyatnya. Penegakan undang-undang syariah merupakan salah satu daripada cita-cita besar Ikhwanul Muslimin dengan membawa slogan Allah adalah tujuan kami, Rasulullah teladan kami, al-Quran pedoman hidup kami, jihad adalah jalan juang kami, dan mati syahid adalah cita-cita kami!

Ini semestinya memberi satu tekanan buat Amerika terutamanya apabila mereka tahu Ikhwanul Muslimin tidak pernah mengiktiraf negara haram Israel bertapak di bumi Palestin. Sebaliknya pula polisi-polisi Amerika di negara-negara teluk menjadikan Mursi dalam tekanan pula untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang muslim. Adakah beliau perlu tunduk kepada agenda Barat atau terus berjuang dan mendatangkan kemungkinan kemelaratan ekonomi yang tidak mampu ditanggung oleh rakyatnya lalu mampu menggagalkan revolusi Mesir yang diidamkan rakyat.

Situasi terkini

Draf perlembagaan Mesir yang baru mendatangkan ujian baru buat Mursi apabila perlembagaan yang dirangka itu bertujuan untuk memberikan kuasa yang lebih kepada presiden dan memasukkan ciri-ciri negara Islam berserta definisi tertentu. Semestinya perkara ini jelas mendatang perasaan yang tidak selesa di kalangan puak liberal dan sekular. Mereka bertindak balasa dengan mengadakan beberapa tunjuk perasaan di istana presiden bagi membantah hal berkenaan. Hingga kini, hampir lapan orang angota Ikhwanul Muslimin dilaporkan maut akibat pertembungan antara puak Islamis dan puak liberal dan sekular.

Saya menjangkakan cabaran yang lebih besar di masa hadapan nanti di Mesir. Amerika Syarikat sedang menjalankan eksperimen demokrasi dalam bentuk baru (Amerika telah campur tangan revolusi di Libya, membiarkan pula Asad jatuh di Syiria tanpa memberi kata dua dan Mesir pula sedang dalam pergolakan tersendiri). Mereka pasti tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana kelompok Islam yang ingin mengembalikan semula kedaulatan Islam di bumi mereka. Ia satu perjuangan tanpa henti antara hak dan batil.

Luqman Abd Hamid
Timbalan Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM

0 komen:

Catat Ulasan