MABIT 2.0- Melatih Beliawanis Capai Kemanisan Beribadah




Surau Kolej Canselor, UPM – Iman manusia itu tidak stabil, ada masanya ia meningkat juga menurun. Dengan itu, PEMBINA UPM dengan kerjasama MTM Kerohanian Kolej Canselor mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) buat kali keduanya pada 30 November 2012 . Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 23 orang peserta. Antara objektif program ini adalah untuk meningkatkan penghayatan Islam dan kemuliaan Al- Quran, serta mengenali tokoh-tokoh  wanita Islam untuk diteladani.

Majlis dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan tilawah al –Quran.  Seterusnya, ‘game’ taaruf yang dijalankan dengan kreatif membantu peserta untuk lebih mengenali peserta yang lain dengan masa yang singkat.  Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan pengisian ringkas oleh Saudari Wan Nur Anisa Binti Wan Abdullah yang  bertajuk “Keindahan dalam beribadah”.

“Sebelum menceritakan tentang keindahan beribadah, saya lebih suka memulakan dengan masalah, agar anda tidak lalai kerana hanya berada dalam keindahan sahaja”,kata Saudari Anis. Beliau menerangkan tentang keadaan umat sekarang yang punya 3 penyakit iaitu akidah, pengetahuan dan akhlak. Umat Islam pada masa kini tidak merasa punya ikatan(akidah) yang kuat dengan Maha Pencipta, membuatkan mereka bebas melakukan apa yang dilarang agama. Selain itu, wabak ‘pedulisme’ iaitu penyakit bersifat keakuan menyebabkan kita cetek pengetahuan dan tidak peka tentang isu –isu  yang terjadi di sekeling kita. Sedangkan, dalam Islam, kita diwajibkan untuk menunaikan hak sesama muslim yang menekankan hubungan silaturrahim sesama insan iaitu:     
  
1.  Bila berjumpa memberi salam        
2. Bila diundang  memenuhi undangan 
3. Bila sakit menziarahi      
4. Bila bersin ucap Yarhamkallah bagi lelaki yang bersin atau Yarhamkillah bagi perempuan yang bersin        
5. Bila diminta nasihat, menasihati      
6. Bila meninggal,  iringi jenazah

Justeru, umat islam perlu diubati dengan kembali kepada ajaran Islam kerana Islam merupakan pakaian kita yang membezakan kita dengan bukan Islam.  Jika kita mengejar dunia, akhirat semakin menjauhi, namun jika kita mengejar akhirat,dunia pasti akan mendatang.Penuhilah hidup kita dengan ibadah.  Ibadah tidak terbatas  hanya dengan solat, berzikir,namun setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat kerana Allah S.W.T.  itu adalah ibadah.

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia  melainkan agar mereka beribadah kepadaKu”. Surah Al –Dzariyat, ayat 56.

Selain itu, beliau menegaskan kita sendiri yang perlu mengambil Islam secara keseluruhan dan menghargai nikmat Islam dan iman yang diberikan kepada kita. Nikmat Islam itu juga perlu kita syukuri melalui pembuktian mengikut suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya kerana islam adalah  merupakan agama yang memenuhi fitrah seorang manusia itu.

"Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Seterusnya, majlis pada malamnya diakhiri dengan sesi muhasabah diri dan bacaan Al –Mulk serta minum ringan, sebelum peserta tidur untuk bangun menunaikan qiam keesokan paginya. Majlis pada paginya, bermula seawal pukul 4.30 pagi untuk menunaikan solat sunat tahajud, taubat,hajat serta witir dan diteruskan dengan solat subuh berjemaah. Slot tazkirah pagi oleh saudari Nur Shahidah Binti Abdul Kadir membincangkan tentang tokoh wanita Islam iaitu Saidatina Aishah r.a yang merupakan isteri kepada Rasulullah S.A.W dan anak kepada Saidina Abu Bakar As. Siddiq yang banyak menyumbang dalam meriwayatkan hadis. Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, para sahabat merujuk Saidatina Aisyah untuk bertanyakan tentang persoalan hadis. Betapa hebatnya beliau sehingga Allah menurunkan wahyu kepada Rasulullah S.A.W di rumahnya dan beliau sentiasa berada di samping Rasulullah, serta dikurniakn ingatan yang sangat tajam.

Sebelum majlis berakhir, para peserta disediakan sarapan pagi yang menyelerakan. Majlis berakhir pada pukul 7.30 pagi. Komen positif diterima daripada para peserta agar program penuh manfaat ini akan dijalankan lagi pada masa akan datang.Insyaallah..

0 komen:

Catat Ulasan