Iftar Galak Beliawanis Puasa Sunat Isnin dan Khamis


Surau Serumpun, UPM – Pada 10 Disember 2012 iaitu hari Isnin telah berlangsungnya majlis berbuka puasa beramai-ramai atau dikenali sebagai Iftar Jamaie yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Majlis ini telah dihadiri 21 orang pelajar muslimah dari pelbagai kolej di UPM. Antara tujuan majlis ini diadakan adalah untuk merapatkan ukhwah yang sedia ada atau pun saling berkenalan sesama muslimah yang hadir. Selain itu, dengan adanya majlis ini para pelajar dapat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan berpuasa pada hari Isnin dan khamis.

Majlis dimulakan dengan para hadirin dijemput berbuka puasa setelah azan Maghrib berkumandang. Setelah itu, para hadirin menunaikan solat Maghrib. Seusai solat, para hadirin bersama-sama dengan jemaah yang hadir membaca surah Yasin dan tahlil untuk disedekahkan kepada seorang pelajar iaitu Allahyarham Mohd Asyraf Aminuddin yang telah kembali ke rahmatullah. Kemudian, solat Isyak telah ditunaikan secara berjemaah.

Selepas itu, sedikit tazkirah telah disampaikan oleh saudari Nur Aqmal Hidayah Yahya. Tazkirah dimulakan dengan bacaan tafsir dari surah as-Syams ayat 9-10 yang bermaksud “Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

Daripada tafsir tersebut, dapat disimpulkan bahawa jiwa yang bersih itu sangat penting untuk menjaga amal ibadat seperti solat, sedekah, puasa, zikir dan tilawah al-Quran. Disebabkan oleh masa yang terhad, saudari Nur Aqmal hanya mengupas tentang puasa dan tilawah al-Quran.

Menurut saudari Nur Aqmal, puasa terdiri daripada tiga kategori iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang ‘super’ khusus. Puasa orang awam adalah puasa yang menahan diri daripada makanan dan minuman sahaja. Puasa orang khusus ataupun dikenali sebagai puasa orang-orang yang soleh pula ialah puasa dari segala segi termasuklah makanan, pandangan, hati dan sebagainya. Manakala puasa ‘super’ khusus pula hanya untuk para rasul dan nabi di mana mereka menjaga perlakuan mereka setiap saat dan waktu.

Dari segi tilawah al-Quran pula, saudari Nur Aqmal telah menyarankan para hadirin supaya merasai keagungan Allah dan hadirkan hati ketika membaca al-Quran. Selain itu, tadabbur juga amat penting dalam tilawah. “ Tiada kebaikan dalam ibadah tanpa pemahaman, tiada kebaikan dalam bacaan al-Quran tanpa tadabbur,” ujar saudari Nur Aqmal.

Selepas sesi tazkirah, para hadirin bersurai. Majlis ini telah berakhir pada jam 9.45 malam.

0 komen:

Catat Ulasan