Gathering Beliawanis PEMBINA


Bukit Ekspo, UPM - Satu program yang dianjurkan oleh PEMBINA UPM iaitu 'Gathering Beliawanis PEMBINA' telah berlangsung pada 14 September 2013. Program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar baru untuk lebih mengenali PEMBINA. Di samping itu, semua peserta dapat memulakan hari dengan gaya hidup sihat serta dapat mengeratkan tali silaturrahim antara satu sama lain. Seramai 50 orang peserta telah menghadiri program ini.

Program dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan melakukan senam zikir. Kemudian diikuti dengan sesi taa'ruf antara semua peserta. Selepas itu, aktiviti diteruskan lagi dengan slot permainan yang memperlihatkan peserta bermain pelbagai jenis permainan seperti selimut, 'motor rempit', melukis dan lain-lain. Melalui aktiviti ini, peserta dapat berfikiran secara kreatif dan memupuk semangat kerjasama di antara ahli pasukan. Program diteruskan pula dengan slot 'junior-senior'. Peserta yang terdiri dari pelajar baru telah dibahagikan mengikut fakulti masing-masing dan setiap kumpulan diberi seorang senior untuk memimpin mereka. Slot ini bertujuan untuk memberi sedikit pendedahan tentang kehidupan di universiti kepada pelajar baru.

Seterusnya, sedikit pengisian telah disampaikan oleh saudari Syafinaz binti Zainol. Beliau merupakan pelajar tahun akhir dalam jurusan Oleo Kimia peringkat Sarjana. Intipati pengisian tersebut adalah mengenai persediaan di universiti terhadap pelajar-pelajar baru. Beliau telah menekankan tentang niat utama pelajar meneruskan pelajaran di universiti iaitu untuk belajar dan mendapatkan redha Allah SWT di samping harapan ibu bapa. Beliau juga mensarankan agar membaca al-Quran setiap pagi supaya dapat mempersiapkan diri dengan kelas sepanjang hari tersebut. Melalui pengalaman beliau, persediaan menghadapi peperiksaan juga penting dengan bersedia lebih awal bukannya di waktu terakhir menjelangnya peperiksaan.

Selain itu, tips untuk menangani stress semasa belajar telah diberi oleh saudari Syafinaz iaitu dengan membaca al-Quran, berzikir dan beriadah. Walaupun pelajar sibuk dengan urusan pembelajaran, jangan pula lupa kepada urusan akhirat sepertimana Allah SWT berfirman dalam Surah As-Syura ayat 20 yang berbunyi "Barang siapa berkehendakkan keuntungan di akhirat, akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barang siapa berkehendakkan keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat." Sebelum program ini berakhir, peserta telah dijamu dengan jamuan tengah hari.
Slot senam zikir

 Sesi bertaa'ruf sesama peserta

 Peserta bermain permainan 'motor rempit'

 Peserta bergambar sebagai kenangan

0 komen:

Catat Ulasan