Usrah Umum Siri Kedua- Penularan Syiah di Malaysia: Persepsi atau Realiti?


Surau Serumpun, UPM – Pada 25 september 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu maghrib telah diadakan usrah umum ke-2 bertajuk “Penularan Syiah di Malaysia: Persepsi atau Realiti?” yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM.

Usrah umum ini disampaikan oleh Ustaz Soleh Ismail, pelajar Universiti Al-Azhar yang mengambil jurusan dalam bidang Syariah Islamiah. Antara pengisian yang disampaikan oleh penceramah adalah mengenai fahaman atau pegangan Syiah yang menyeleweng dari ajaran Islam.

Antaranya adalah golongan Syiah mengkafirkan para sahabat secara umum. Pengkafiran ini boleh dilihat dalam semua kitab Syiah, terutama yang muktabar, memuatkan riwayat yang mengkafirkan, melaknat, memaki hamun dan melakukan tabarri terhadap para sahabat.

'Golongan Syiah menabur fitnah kepada para sahabat Rasullullah S.A.W seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman bin ‘Auf, serta isteri-isteri Rasullullah S.A.W', jelas Ustaz Soleh.

Golongan Syiah juga mempercayai Allah bersifat dengan sifat al-Bada’ iaitu bahawa Allah telah memulakan satu ketentuan baru setelah ketentuan awal gagal dilaksanakan. Definisi al-Bada’ bererti jahil dan tidak mempunyai ilmu yang meliputi.

Ustaz juga tidak ketinggalan berkongsi dengan mahasiswa mengenai kelahiran Syiah di Malaysia. Secara umumnya terdapat tiga kumpulan Syiah di Malaysia iaitu Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra), Syiah Ismailiah Agha Khan, dan  Syiah Ja’afariyah (Imam Dua Belas).

Sesi yang seterusnya, ustaz merungkai faktor- faktor penularan ajaran Syiah yang semakin berkembang di Malaysia. Antaranya adalah orang Melayu Islam jahil tentang syiah dan menganggapnya sama seperti mazhab-mazhab Islam yang lain, bersikap menolak mentah-mentah, atau terus menerima tanpa usul periksa dan membuat analisa, Ulama’ ahli sunnah wal jamaah tidak mengambil berat kerana kebanyakan ulama’ sunnah enggan menjawab hujah golongan syiah, dan Iran dianggap ‘Hero Umat Islam’ kerana keberanian serta kelantangan memusuhi Amerika dan Israel.

Pengakhiran sesi ceramah, ustaz menyeru serta menekankan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi untuk bersama-sama duduk semeja bagi membincangkan tentang ideologi-ideologi luar yang datang untuk mengancam kedudukan agama Islam agar permasalahan ini dapat ditangani dengan kadar segera.

Isu tentang fahaman Syiah perlu diatasi segera kerana hal ini akan memberi kesan buruk kepada seluruh umat Islam. Bertepatan dengan tujuan usrah umum ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai ajaran Syiah yang semakin tersebar luas di Malaysia dan juga seluruh dunia.

Selepas sesi ceramah berakhir, sesi soal jawab  antara ustaz dengan para pelajar mengenai ajaran Syiah telah diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya secara langsung kepada ustaz mengenai fahaman Syiah ini, sekaligus meningkatkan lagi kefahaman mereka.

Selesai sesi pertanyaan, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi ceramah pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam. Pelbagai manfaat diperolehi oleh para peserta Usrah Umum kerana mereka tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi dengan ilmu dan info yang sangat berguna untuk dijadikan panduan hidup.


Ustaz Soleh Ismail semasa menyampaikan ceramah

Peserta khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan

0 komen:

Catat Ulasan