Kekalkan Aura Ramadan

Tanpa kita sedari bulan Ramadan sudah sampai ke pertengahan bulan. Sememangnya seluruh umat Islam wajib berpuasa pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Krefit foto: Raudhah Ramadhan
Semoga kita semua dapat menghayati bulan yang penuh berkat ini dengan melakukan amalan ibadah sebanyak yang mungkin sekaligus dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T dalam Al-Quran :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” – Surah Al-Baqarah: 183.

Marilah kita semua berdoa kepada Allah S.W.T dengan meminta kepada-Nya supaya diberi kekuatan dan ketekunan untuk terus beribadah di bulan yang penuh keberkatan ini serta berkekalan dalam melakukan ibadah selepas Ramadan. Sememangnya kita harus memohon kepada-Nya supaya kita terus beribadah walaupun selepas Ramadan.

Antara contoh yang paling mudah untuk kita lihat apabila Ramadan tiba ramai yang akan memasang niat untuk melakukan pelbagai ibadah sunat seperti:

1) Memperbanyak membaca Al-Quran di bulan Ramadan 

Pada bulan Ramadan yang mulia ini, memang ramai yang memasang niat untuk bertadarus dan kalau diberi peluang ingin menghabiskan bacaan sebanyak 30 juzuk Al-Quran dengan jayanya. Hal ini kerana kita didorong satu semangat baru untuk beribadah di bulan Ramadan yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda.

Namun begitu, cuba kita fikirkan kembali bahawa Allah telah memerintahkan nabi dan umatnya sepaya berpegang teguh dengan Al-Quran kerana Al-Quran adalah sumber kemuliaan, ketinggian, kesucian, kepimpinan dan kemenangan umat.

Firman Allah S.W.T:
“Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus.  Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta pertanggunganjawab.”
-Surah Az-Zukhruf: 43-44

Oleh itu, marilah kita renung kembali ayat di atas dan jika di bulan Ramadan ini kita sedaya yang mungkin untuk cuba mengkhatamkan Al-Quran, maka begitu juga yang kita inginkan selepas Ramadan berlalu pergi supaya diri kita sentiasa berada dalam keimanan dan ketaqwaan kepada yang Maha Pencipta.

2) Qiamullail 

Kita juga tidak ketinggalan memasang niat untuk bangun malam dan melalukan qiamullail kerana apabila tiba di malam hari sememangnya kita digalakkan untuk menghidupkannya dengan amalan sunat seperti melakukan solat tahajud, berzikir dan ibadat-ibadat lain yang dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim.

Sememangnya menghidupkan malam di bulan Ramadan adalah satu tuntutan. Tetapi mari kita lihat bahawa banyak ayat Al-Quran dan hadis Nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadah qiamullail tanpa mengira bulan yang khusus. Di antaranya ialah firman Allah S.W.T :

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "Sembahyang Tahajjud" padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji".- Surah al-Isra': 79

Berdasarkan firman Allah S.W.T diatas jelaslah bahawa melakukan qiamullail sememang dijanjikan ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T. Oleh itu, marilah kita sama-sama terus menghidupkan malam dengan beribadat kepada yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dengan membawa roh Ramadan itu di hari-hari yang seterusnya.

3. Kesedaran dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dengan memohon taubat kepada Allah S.W.T

Apabila bulan Ramadan akan kunjung tiba, kebiasaannya kita akan dengar ucapan atau kata “ Aku harapkan Ramadan kali ini akan memberi sinar hidayah baru untuk  aku mencari keredaan Ilahi”, atau ramai yang akan mengatakan “ Aku berazam untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dengan memperbanyak ibadat dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T”.

Tidak akan ada ayat atau kata yang kita dengari “ Aku inginkan Ramadan pada kali ini lebih teruk dari sebelumnya dan aku akan melakukan segala kemungkaran”.

Semua kata-kata ini kerana apa? Kerana Ramadan adalah bulan mulia dan salah satu landasan untuk kita sebagai umat Islam untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik di sisi Allah S.W.T.

Namun kadang kala kita alpa seketika tentang hakikat bahawa kewajipan dalam memohon keampunan sememang dituntut dalam Islam. Firman Allah dalam Al-Quran:

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.- Surah At-Tahrim: 8

Berpandukan firman Allah S.W.T dalam surah ini, sememangnya kewajipan menuntut taubat adalah dituntut dalam Islam tanpa mengira waktu dan harus dilaksanakan dengan segera.

Oleh itu, jika di bulan Ramadan kita mampu melakukan solat sunat taubat dan memohon keampunan kepada Ilahi, marilah kita sama-sama istiqamah dalam memohon taubat kepada Allah S.W.T pada hari-hari yang seterusnya supaya hidup kita sentiasa berada dalam keredaan-Nya.


Berdasarkan ketiga-tiga contoh di atas, kita mahu Ramadan hebat sekali tetapi kita harus sedar bahawa pada bulan-bulan selepasnya juga harus hebat setanding dengan bulan Ramadan, malah boleh lakukannya dengan lebih baik.

Kita tidak mahu aura Ramadan itu hanya wujud di bulan Ramadan sahaja tetapi harus dihidupkan roh ibadah itu pada bulan-bulan yang seterusnya. Ibadah, akhlak yang baik dan segala kebaikan bukan hanya di bulan Ramadan yang mulia tetapi harus dilaksanakan pada hari-hari yang seterusnya.

Marilah kita sama-sama hidupkan aura Ramadan itu setiap hari selagi nyawa masih ada kerana setiap nafas yang diberikan oleh Ilahi kepada kita adalah bertujuan untuk beriman dan bertaqwa kepada-Nya.

Oleh:
Noor Khairina Bt Mohd Said
Ahli PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan