Madrasah Ramadhan 2013

Dalam kita menyambut ketibaan bulan Ramadhan ini, eloklah kalau kita menyediakan checklist senarai Madrasah Ramadhan kita.

1. Berpuasa
Kelebihan berpuasa banyak sekali disebutkan di dalam al-Quran mahupun hadis. Antaranya

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (al-Baqarah:183)

Akan munculnya sifat dan perasaan mahmudah (terpuji) dengan mudah dan sebati dalam diri bagi mereka yang sentiasa berpuasa. Sesungguhnya puasa itu menyuburkan rasa ketakwaan dan kepatuhan kita kepada Allah SWT.

Apatah lagi dari sudut kesihatan puasa memberi manfaat yang banyak. Menurut Mc Phodoun, seorang doktor, dalam kajiannya mendapati manusia memerlukan puasa. Racun makanan dan ubat-ubatan yang terkumpul lama dalam diri manusia dapat dinyahtoksinkan melalui puasa. Lalu dapat menghilangkan rasa berat dan kurang berghairah dalam diri manusia.



2. Solat Tarawih/Witir
Sesungguhnya hanya di bulan Ramadhan solat tarawih dilaksanakan dan bukannya bulan lain. Hukum sunat muakkad haruslah dikaut pahala sebaiknya oleh semua muslimin sepanjang Ramadhan berlangsung.

Baginda Rasulullah SAW mengerjakan secara berjemaah di masjid bersama dengan para sahabat selama beberapa malam. Ada masanya Rasulullah SAW melaksanakannya pula di rumah.

3. Membaca al-Quran
Pada 17 Ramadhan, turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Ia datang sebagai mukjizat terbesar dan menjadi petunjuk kepada umatnya.

Memperuntukkan masa untuk membaca al-Quran baik secara bersama keluarga ataupun sahabat, mahupun bersendirian amatlah digalakkan. Berniatlah ingin mengkhatamkan al-Quran sebelum Ramadhan berlangsung meninggalkan kita.

Di antara waktu yang dicadangkan adalah:

a) Selepas solat Subuh: Jika boleh habiskan sebanyak 10 muka surat sebagai asas pembuka hari yang gemilang.

b) Ketika masa lapang: Selepas solat Zuhur, Asar dan Maghrib. Boleh juga semasa waktu segang.

c) Selepas solat Tarawih: Sambung kembali habiskan bacaan mengcukupkan satu juzu' sehari.

4. Menghayati akhlak Ramadhan
Amat rugilah jika kita menyambut Ramadhan hanya dengan lapar dan dahaga. Sesungguhnya Ramadhan membawa seribu rahmat kepada mukmin yang menghayatinya.

Marilah sama kita mengingati saudara kita yang memerlukan bantuan dan pertolongan kita. Antara akhlak yang boleh kita tanamkan dalam diri kita:

a) Belas kasihan: Marilah sama-sama kita mewujudkan perasaan belas kasihan kepada saudara kita di serata dunia. Mereka mengalami penderitaan dan penindasan lebih teruk daripada kita. Ingatlah yang berada di Palaestin, Syria, Mesir, Rohingya dan di tempat lain yang memerlukan bantuan kita. Wujudkan tabung khas untuk kita menderma kepada mereka.

b) Memelihara silaturrahim: Ziarahlah saudara, sahabat mahupun jiran tetangga kita. Ajak mereka berbuka bersama kita. Ucapkanlah tahnuah sempena kedatangan Ramadhan sama ada melalui SMS ataupun telefon. Nasihatkan bersama meningkatkan amalan sempena kedatangan Ramadhan al-Mubarak.

c) Infaq: Perbuatan infaq adalah satu perniagaan yang menguntungkan buat yang mengetahui. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Tiadalah kurang harta sebab bersedekah." (HR Muslim)

Apatah lagi di bulan penuh keberkatan ini. Begitu banyak kebaikan dalam bersedekah. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya sedekah (pemberian) seorang muslim memanjangkan umurnya, menghindarkannya daripada mati yang tidak baik dan Allah hindarkannya daripada kesombongan dan keangkuhan." (HR at-Tabrani)



d) Pemaaf: Menjadi satu fenomena yang baik apabila Ramadhan tiba ramai yang menghantar SMS dan ucapan maaf. Kita dapat menggembirakan orang lain dengan memberikan kemaafan. Hadis Rasulullah SAW ada mengatakan bahawa, maksudnya:

Daripada Ali r.a katanya: Sesungguhnya antara perkara yang boleh mengampunkan dosa-dosa ialah memberi kegembiraan kepada saudara seIslam kamu.

e) Qanaah: Dalam kita berpuasa, secara tak langsung kita mengurangkan gelora nafsu kita terhadap duniawi. Inilah masa kita mendidik sifat qana'ah (berpada). Dalam kita berpuasa, kita mendidik diri kita untuk berpada dalam pencarian di duniawi ini. Janganlah kita mengharapkan habuan dunia yang sementara. Ingatlah dunia ini hanyalah jambatan bagi mencapai kejayaan di akhirat nanti.

f) Berkata yang berfaedah: Marilah sama-sama kita menghindarkan diri kita daripada perbuatan golongan yang memakan daging saudaranya. Berkatalah baik di bulan mulia ini ataupun diam.

5. Qiamullail
Apabila tiba malam hari, amatlah elok kita menghidupkannya dengan amalan-amalan seperti membaca al-Quran, solat tahajjud dan zikir. Marilah kita mengabdikan diri kita kepada Allah SWT dengan khusyuknya. Apatah lagi memohon keampunan daripada-Nya di saat yang penuh keberkatan ini sebagaimana firman Allah, yang bermaksud: "Bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu..." (Ali Imran: 133)

6. Iktikaf
Pada sepuluh terakhir Ramadhan, amalan iktikaf amat dituntut untuk dilaksanakan. Kita duduk di dalam masjid dengan niat beriktikaf. Dalam hadis, bermaksud:

Rasulullah SAW biasa beriktikaf pada sepuluh terakhir hari-hari bulan Ramadhan sehinggalah beliau wafat.

Ketika beriktikaf itu, bacalah al-Quran, memperbanyakkan zikir, tafakkur, berdoa, bertasbih, bertahmid dan bertakbir agar amalan iktikaf diterima. Ini juga dapat mendidik jiwa mendekatkan diri kepada Allah.

olahan: Manhaj Ramadhan (2012). Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Bandar Baru Bangi: Abad Sinergi Sdn Bhd.

0 komen:

Catat Ulasan