Ramadan - Sempurna atau Siap?

Suasana hening malam. Malam pertama Ramadan tiba. Masjid dan surau penuh dengan kariah, penduduk taman dan kampung sehingga ada yang terpkasa solat di luar. Imam membaca surah-surah al-Quran dengan khusyuknya.

Suasana ini, walau bagaimanapun, berubah kala meningkat umur Ramadan. Adakah mungkin disebabkan ramai umat Islam menjadi kurus kerana puasa, sehingga kariah penduduk dapat memenuhi ruang dalam surau atau masjid tanpa melimpah ke luar? (persoalan sini buat yang berfikir)

Alhamdulillah, 9 hari Ramadan telah berlalu meninggalkan kita. Kali ini, umat Islam akan berada dalam satu fasa yang baru, iaitu fasa al-maghfirah (keampunan), selepas fasa rahmat. Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadan perlulah sama-sama dihayati semoga menjadi pedoman, pengajaran dan motivasi buat diri setiap insan.


Peristiwa perang Badar, persediaan perang Khandaq, pembukaan kota Makkah, pembunuhan umat Islam di Baghdad ketika serangan tentera Monggol. Hari ini 10 ramadhan mencatat sejarah kerana pada hari inilah, Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat memulakan perjalanan keluar dari Madinah menuju ke Makkah, dan pada bulan yang sama, pembukaan kota Makkah telah berlaku tanpa pertumpahan darah.

“Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka."

Fasa Pertama : 10 hari yang awal merupakan fasa rahmat

Fasa Kedua : 10 hari berikutnya merupakan fasa keampunan

Fasa Ketiga : 10 hari terakhir merupakan fasa keselamatan daripada api neraka

Saya meniliti banyak kelas perbincangan perkara-perkara yang membatalkan puasa, namun kita acap kali terlupa untuk membincangkan akan perkara yang lebih aula (penting) daripada itu, iaitu perkara-perkara yang mengurangkan atau membatalkan pahala puasa.

Umat Islam di Malaysia merupakan satu ummah yang hebat dan boleh dianggap juara kerana ramainya yang patuh dalam menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan, berbeza dengan saudara Islam di negara-negara bercuaca panas seperti Nigeria di Afrika. Mereka ada yang tidak dapat menunaikan kefardhuan puasa dengan sempurna.

Namun, mereka di sana, penghayatan terhadap bulan ini lebih baik berbanding umat Islam di Malaysia. Di sini, ramai yang boleh bertahan dari subuh sehingga maghrib, namun bagaimanakan ibadah-ibadah wajib yang lain? Solat lima waktu? Mengawal pandangan pendengaran, percakapan dan penglihatan?

Syariat Islam di ambil sebahagian, dan menolak sebahagiannya, dan akhirnya lapar dan dahaga sahaja yang diperolehi. Pahala puasa hangus, terbatal akibat pelanggaran syariat dengan sengaja atau tanpa kita sedari.

Mari kita lihat beberapa perkara yang membatalkan pahala puasa:

1. Ar-ribah – Mengumpat

2. An Namimah – Mengadu domba, melaga-laga (batu api)

3. Bercakap bohong

4. Melihat perkara yang haram yang boleh menaikkan nafsu

5. Bersumpah palsu

6. Berkata perkataan yang keji dan lagha

Nabi saw bersabda :

رب صائم ليس له من صيامه إلا الجوع و العطش

Maksudnya : "Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum.”

Atau dari hadis lain

Dari Abu Hurairah, telah berkata, Nabi SAW telah bersabda :

من لم يدع قول الزور و العمل به فليس لله عز وجل حاجة أن يدع طعامه و شرابه

Maksudnya : "Barang sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta, dan tetap mengamalkannya, maka Allah sekali-kali tidak berhajat (atas amalannya, meskipun) dia meninggalkan makanannya serta minumannya." [HR Al-Bukhari]

“Sempurna” dan “Siap” adalah dua perkataan yang berbeza makna. Dan dua perkataan ini mempunyai hubung kait yang amat rapat. Sempurna menggambarkan suatu tindakan yang dilakukan dengan teliti dan berwaspada, manakala siap menggambarkan tindakan yang dilakukan sekadar untuk menyudahkan sesuatu.

Satu persoalan buat kita, bagaimana ibadah puasa yang kita tempuhi? Adakah hanya ‘siap’ atau ‘sempurna’? Tepuk dada, tanya hati, koreksi iman, gerakkan amal.

Umat Islam zaman ini telah berada dalam perangkap Iblis dan musuh-musuh Islam sehinggakan amal tidak lagi menjadi keutamaan, sebaliknya iman yang amat diutamakan. Pembenaran hati tanpa beramal adalah satu konsep yang dipercayai mampu memasukkan diri ke dalam syurga.

Inilah pengaruh fahaman Liberalisme. Kebebasan untuk berfikir dan bersuara sehingga menjadikan suasana dakwah menjadi malap, lesu, dan tiada sesiapa ingin ke depan menyeru hati-hati kepada pintu Allah Azza wajalla. Jika dahulu pada zaman Imam Ahmad, kaumnya bernama Murji’ah berfahaman akan konsep yang sama, kini ia berulang sekali lagi ke zaman ini. Jihad dianggap satu tindakan yang menyeksa diri, lebih kepada penderitaan.

Mereka yang berfahaman seperti ini digelar sebagai muslim moderat. Semoga kita jauh dari berfahaman seperti ini, penglibatan dengan pelbagai gerakan dakwah seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM akan menyedarkan diri untuk kita menyumbang sesuatu pada Islam dan ummah.

Seruan saya, sudah-sudahlah kalian menjadi kelawar, tidak pernah memberi sedikit manfaat kepada manusia yang lain, ayuh bersama kami, kita perbaiki diri, dan memperbaiki manusia lain dengan menyeru kepada amar makruf dan nahi munkar.

oleh:
Syafiq Syahmi Sazali
Biro Tarbiyah PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan