Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?

Sungguh! Manusia masih lalai dengan permainan dunia dan pelancaran serangan pemikiran yang didoktrinkan kepada manusia sehingga kita tidak sedar dan jauh sekali untuk bersyukur.

''Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar maha Pengampun lagi maha penyayang." QS 16:18

Kebiasaannya umur 20-40 merupakan waktu yang kita sangat terburu-buru dalam mengejar nikmat. Lihat sahaja di kampus. Mahasiswa lebih cenderung untuk terpengaruh membeli pelbagai gajet terbaru seperti telefon pintar, iPad, laptop gaming dan sebagainya. Kawan beli itu kita juga hendak beli itu, kawan beli ini kita juga hendak beli ini.


Hal ini jelas menunjukkan kita amat mudah terpengaruh oleh faktor rakan sebaya. Lihat sahaja contoh telefon bimbit yang kita gunakan. Adakah ianya kehendak atau keperluan? Akan tetapi saurdara saudari sekalian, percayalah sesunguhnya nikmat yang kita kejar ini sangatlah jauh jika hendak dibandingkan dengan nikmat akhirat. Percayalah!

"Hai orang-orang yang beriman, Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit." QS 3 : 38

Apa-apapun hakikatnya banyak nikmat yang kita kecapi hingga kita terlupa untuk bersyukur, dan nikmat yang paling besar ialah nikmat iman dan nikmat islam. Allah akan bagi nikmat kepada orang yang Dia suka dan tidak suka, tetapi nikmat agama hanya akan diberikan kepada yang Allah suka.

Jadi nikmat iman dan Islam merupakan anugerah terbesar kepada kita yang bergelar muslim. Oleh sebab itu, Allah boleh memberikan pangkat, harta dan jawatan kepada semua orang, termasuk orang kafir.

Rasulullah s.a.w bersabda
''Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi seteguk airpun untuk minuman orang kafir."

Nah! Oleh sebab itu Allah bole memberikan semua itu kepada semua orang termasuk orang kafir kerana ianya tidak bernilai. Bahkan jika kita melihat sejarah firaun diberikan nikmat dunia dengan satu empayar yang besar. Namun apakah yang telah firaun lakukan? Kita juga sedia maklum dengan kisah firaun dan pengakhirannya. Oleh sebab itu, dalam mengejar nikmat dunia kita perlu berpada-pada.

Kerana pada satu ketika, kita akan sedar bahawa nikmat-nikmat di dunia ini akan diperoleh oleh orang tertentu sahaja.

Saya berikan sebuah contoh mudah. Jika kita lihat siapakah yang akan menikmati kelazatan makanan? Tentunya orang yang lapar sahaja akan merasai nikmat kelazatan makanan. Jika orang itu makan dengan makanan yang mahal, beras dan rempah ratus yang mahal, akan tetapi apalah nikmatnya jika dimakan waktu yang kenyang.

Sama juga dengan yang lain. Contoh yang lain ialah tidur. Nikmat tidur ialah kita dapat tidur dengan mimpi yang indah-indah. Apalah gunanya jika kita tidur dengan tilam yang berkualiti tinggi, tetapi mimpinya adalah ''nightmare'', fikirkanlah walaupun sejenak.

Moga kita berpada-pada dalam mengejar nikmat dunia. Ambillah pengajaran daripada hadis terakhir yang ingin dikongsikan ini,

Rasulullah s.a.w bersabda;
''Akan didatangkan orang yang paling lazat dan nikmat kehidupannya semasa di dunia daripada para calon penghuni neraka. Ia dicelupkan sekali celupan ke seksa neraka, lalu ia ditanya: 
Wahai anak Adam, pernahkah engkau merasakan kenikmatan walau hanya sesaat? Pernahkah ada kenikmatan yang engkau dapatkan? 

Ia menjawab: Tidak pernah ada, sungguh demi Allah, wahai Tuhanku.

Sebaliknya akan didatangkan orang yang paling menderita di dunia daripada para calon penghuni syurga. Ia dicelupkan sekali celupan ke dalam surga, lalu ia ditanya:
Wahai anak Adam, pernahkah engkau merasakan suatu derita selama hidupmu? Pernahkah, ada suatu derita yang melintas dalam hidupmu?

Ia menjawab: Tidak pernah ada, sungguh demi Allah, wahai Tuhanku. Tiada suatu deritapun yang melintas dalam hidupku, dan akupun tidak pernah merasakan satu deritapun." (HR Muslim)

Moga ini dapat dijadikan renungan buat kita semua terutama diri saya. Sebenarnya peringatan untuk diri saya juga, moga bacaan ini dibaca dalam kerangka untuk diimplementasi bukan sekadar teori. Wallahu'alam.

Oleh:
Ahmad Naqiuddin
Timbalan Presiden PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan