Persiapan Kita dalam Menghadapi Ramadhan


8 Julai - Berlangsungnya satu kuliah Maghrib bertempat di Surau Kolej 13 tentang persiapan Ramadhan yang disampaikan oleh ustaz Anuar Salleh.

Di kuliah tersebut ustaz Anuar Salleh menekankan betapa pentingnya taqwa dalam diri setiap individu muslim dan motivasi insan cemerlang. Dan Ramadhan menjadi salah satu wadah untuk menguji dan meningkatkan ketaqwaan kita sebagaimana firman Allah SWT:



"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

"Menurut syara'," kata graduan dari Universiti Al-Azhar ini, "Taqwa" itu bermaksud menjaga dan memelihara diri daripada seksa dan murka Allah SWT dengan jalan melaksanakan perintah-perintah-Nya serta menjauhi semua larangan-larangan-Nya, menjauhi semua kemaksiatan dan taat kepada Allah SWT."

"Atau kata mudahnya bagaimana kita takut pada Allah SWT," ujar ustaz Anuar lagi.

"Apabila kita bertaqwa faedahnya amat besar buat diri kita ini. Disebutkan di dalam al-Quran,

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (al-Anfal:29)

Beberapa hari lagi tibanya bulan Ramadhan, jadi apakah persiapan kita dalam pesta ibadah untuk tahun ini dalam menjadi insan cemerlang?

Menurut ustaz Anuar, apabila tibanya bulan Ramadahan, inilah masanya untuk kita bergembira, rindu dan sayu menyambut Ramadhan. Sebagaimana berkatanya Rasullullah SAW, bermaksud:

"Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan akan diharamkan dirinya daripada simbahan api neraka."


Namun begitu, Ramadhan tidak tersekat dengan aktiviti berpuasa sahaja sebagaimana Rasullullah SAW berkata lagi, maksudnya:

"Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta agar sepanjang tahun adalah Ramadhan."

Hadis ini menjelaskan bahawa Ramadhan bukanlah setakat melaksanakan ibadah puasa. Malahan ia lebih daripada itu. Pengisian yang bermakna sepanjang Ramadhan mampu menjana kehebatan diri kita sebelum, semasa dan selepas Ramadhan itu datang.

Lalu, Ramadhan boleh menjadi bulan motivasi untuk kita cemerlang dan terus cemerlang selepasnya. Ia ibarat bulan kilang kita mempersiapkan diri bagi tempoh 11 bulan yang akan datang sebelum tibanya Ramadhan lagi.
Pelajar yang hadir khusyuk mendengar tazkirah Ustaz Anuar.
Jika sebelum ini kita hanya sempat membaca satu muka surat al-Quran sahaja, tambahlah lagi apabila tibanya bulan mulia ini. Dari satu ke sepuluh. Sebolehnya niat untuk mengkhatamkan 30 juzu al-Quran sepanjang bulan keberkatan ini berlangsung.

Jika sebelum ini kita jarang sekali menunaikan solat rhawatib, apa kata perbanyakkkannya. Banyakkan solat sunat selepas menunaikan solat wajib secara berjemaah.

Tambah ustaz lagi, pentingnya kita menjadi individu cemerlang yang mampu bertindak menegakkan kedaulatan ummah. Apatah lagi dengan pelbagai ancaman seperti Syiah, hedonisme, liberalisme, dan kecairan jati diri umat Islam, yang kuat melanda umat Islam kini.

Di samping itu ustaz Anuar juga sempat memperkenalkan Persatuan Belia Islam Nasional atau ringkasnya PEMBINA sebagai wadah untuk mahasiswa bergiat aktif dalam aktiviti belia di Universiti Putra Malaysia (UPM) .

Malahan PEMBINA tidak terhad di UPM sahaja. Setakat ini hampir di semua Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta di seluruh Malaysia mempunyai ahli PEMBINA.

Mahasiswa tidak akan terbatas aktivitinya di dalam universiti sahaja. Boleh bergiat di seluruh Malaysia di mana PEMBINA ada.

0 komen:

Catat Ulasan