Di sini, saya ingin berkongsikan mengenai satu pesanan ringkas kepada pelajar-pelajar dan diharapkan sedikit perkongsian ini bermanfaat kepada kita semua terutamanya saya.
Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat terakhir iaitu ayat ke-111 (maksudnya);
"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman."
Jadi, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran, ibrah dan panduan hidup bagi siapa? Bagi mereka yang berfikir.
Di sini ingin saya ingin membawa kisah yang apabila kita teliti dan hayati, kita akan dapati pelbagai panduan yang ingin kita boleh implementasikan dalam kehidupan seharian kita.
Kisah yang ingin saya bawakan ini berkisar pada zaman Imam Malik.
Pada suatu ketika, Imam Malik sedang mengajar hadis di Masjid Nabawi. Sedang beliau mengajar bersama anak-anak muridnya, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh sebuah teriakan, "Ada gajah! Ada gajah!"
Rupanya mereka didatangi oleh rombongan kabilah bersama gajah. Semua anak murid Imam Malik keluar untuk melihat gajah itu kerana ia binatan yang aneh kerana mempunyai hidung yang panjang.
Semua keluar kecuali dua orang iaitu Imam Malik dan seorang pemuda bernama Yahya bin Yahya. Oleh itu, pengarang al-Muwatha' itu bertanya kepada pemuda tersebut.
''Wahai syab (pemuda), kenapa kau tidak ikut sekali untuk melihat gajah?"
Pemuda itu lalu menjawab.
"Ya Syeikh, saya datang jauh-jauh ke sini dari negeri saya bertemu anda, belajar dengan anda, dan meminta bimbingan anda. Bukan untuk melihat seekor gajah!"
Mendengar jawapan itu Imam Malik merasa kagum dan menyematkan kepada Yahya bin Yahya sebuah sebutan sebagai "Manusia Cerdas dari Andalusia". Akhirnya Yahya bin Yahya pulang ke Andalusia dan menjadi Imam besar di sana.
Baiklah pelajar yang dirahmati sekalian.
Saya pasti banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Yahya bin Yahya. Di sini saya ingin kongsikan 3 noktah penting yang boleh dijadikan ibrah bersama.
1. Fokus
Kita perlukan fokus yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu pelajar semua harus meletakkan target-target apa yang hendak di capai semasa di universiti.
Sebagai contoh ingin cemerlang dalam akademik, aktif dalam persatuan untuk meningkatkan kemahiran, mendalami ilmu Islam atau ingin melalui proses tarbiyah diri dan sebagainya yang telah kita telah letakkan pada permulaan harapan kita.
Lalu dengan menyibuk dalam perkara-perkara remeh temeh di sekeliling kita mampu menyebabkan kita tidak hilang fokus. Jika sebut pelajar, antara serangan pemikiran atau belenggu yang biasa dialami ialah game, menonton movie dan berpacaran sesama bukan muhrim.
Marilah kita buat persediaan awal dan kuatkan ''mind set'' kita untuk fokus bagi mencapai cita-cita yang kita tetapkan pada permulaannya. Seterusnya untuk tidak terjebak dengan perkara-perkara remeh di sekeliling kita.
Tidak menghiraukan keadaan sekeliling bukan bermaksud untuk tidak mengendahkan langsung apa yang berlaku di sekeliling kita seperti sahabat kita, senior, aktiviti kolej dan sebagainya.
Rasulullah pernah berpesan (maksudnya):
"Seorang mukmin yang bergaul dengan banyak orang, lalu ia sabar dengan tindakan mereka yang menyakitkan, maka itu lebih baik daripada orang yang tidak pernah bergaul dengan orang kebanyakan dan ia tidak boleh bersabar dengan tindakan mereka." (HR Ahmad)2. Prioriti
Kisah ini juga mengajar kita mengenai suatu fiqh, iaitu fiqh awlawiyat (keutamaan/prioriti). Dalam kita menjalani kehidupan seharian kita, banyak perkara yang ingin kita lakukan. Oleh itu, timbanglah semua perkara sebaiknya dan dahulukan prioriti-prioriti yang penting dan elakkan dari perkara-perkara yang membazirkan masa anda.
Utamakanlah perkara-perkara yang baik. Apabila masa kita tidak diisi dengan perkara yang baik, secara automatik ianya diisi dengan perkara yang tidak baik.
Tarikan hari ini ialah tarikan antara dua belenggu. Jika kita tidak dibelenggu atau diikat dengan benda yang baik, kita akan dibelenggu pula dengan perkara yang buruk.
Maka, rancanglah sebaiknya urusanmu. Moga Allah permudahkan segalanya.
3. Berjiwa besar
Ketiga, Yahya bin Yahya mengajar kita untuk berjiwa besar. Yahya bin Yahya mengembara dari tempat yang jauh iaitu Andalusia dan ini menuntut jiwa yang besar. Jika kita lihat diri kita di alam universiti ini, ada pelajar yang merantau jauh dari Kelantan, Kedah dan ada jauh dari selatan tanah air dan ada yang menaiki pesawat dari Sabah dan Sarawak hanya untuk menuntut ilmu. Ini jelas menuntut kita untuk berjiwa besar.
Jiwa besar bermaksud kita mengutamakan masalah dunia lebih daripada masalah peribadi. Masalah kini, ramai mahasiswa jiwa mereka kecil. Masalah peribadi mereka itulah dianggap masalah dunia.
Contohnya putus tunang, putus couple, handphone rosak, dan laptop rosak, menyebabkan mereka putus asa dan merasakan dunia ini telah berakhir. Walhal ada yang lebih besar berbanding semua itu. Iaitu hal dunia Islam.
Terus, saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk menjadi muslim yang berjiwa besar dan bercita tinggi.
'Amr bin 'Ash pernah berpesan, "Kalian harus bercita-cita meraih hal-hal yang besar, bukan hal-hal yang kecil." Ini kerana, barangsiapa mencari yang besar, maka fikirannya akan terpacu untuk berfikir yang besar pula.
![]() |
Ayuh bercita-cita tinggi menawan gunung kejayaan! |
Moga kita, belia, menjadi aset penting dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Oleh:
Ahmad Naqiuddin Mohd Tahir
Timbalan Presiden PEMBINA UPM 2013/14
Assalamualaikum. I am a UPM student and I really want to learn Bahasa Melayu. How can I get some good friends to make friendship and also learn the language?
BalasPadamThank you very much
Waalaikumussalam brother.
PadamThanks.