Erti Tersirat Pengorbanan




Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Pada setiap tahun, umat Islam akan menyambut dua hari perayaan iaitu, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.  Hari raya Aidiladha merupakan satu hari perayaan yang amat bersejarah bagi seluruh umat Islam. Kerana peristiwa ini berlaku ketika zaman nabi Ibrahim a.s..  Pada ketika itu nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya sendiri dan ianya bukan sekadar mimpi kosong, tetapi juga merupakan suatu perintah daripada Allah kepada beliau.

Bukanlah ingin saya mengulangi semula kisah nabi Ibrahim, kerana saya yakin dan percaya kebanyakan daripada kita sudah mengetahui perjalanan peristiwa tersebut seperti yang terungkap di dalam al-Quran; surah As-Saffat, ayat 101-111. Tetapi, coretan saya ini adalah bertujuan untuk memetik sedikit ibrah atau pengajaran daripada kisah tersebut.


" Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.."
 [As-Saffat-37:110- 111]


Salah satu ibrah yang paling besar dalam kisah ini adalah taat. Kita dapat lihat dari kisah ini bahawa nabi Ibrahim melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah kepadanya, semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya. Berbeza pula dengan zaman sekarang, perkara tersebut tidak ramai yang mampu melakukannya. Sesetengah orang, yang zahir pun tidak mampu dilakukan, apatah lagi yang tidak nampak. 

Contohnya, taat kepada kedua ibu bapa, iaitu selepas taat pada peintah Allah s.w.t., kita dikehendaki mematuhi arahan kedua ibu bapa kita, selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.  Banyak sahaja cerita-cerita yang kita dengar di keratan akhbar-akhbar atau di internet, ramai anak muda yang tidak beradab dengan ibu bapanya sendiri. Dari sekecil-kecil perbuatan seperti bertengkar sehingga sebesar-besarnya seperti membunuh ibu bapanya sendiri hanya disebabkan perkara yang kecil. Sekiranya ini pun kita tidak dapat lakukan, bagaimana ingin kita mendapat keredhaanNya.

Seterusnya ialah pengorbanan. Pengorbanan adalah signifikan di dalam sebuah kehidupan. Tanpa pengorbanan, seseorang itu tidak akan mampu untuk hidup di dunia ini. Sama ada dari segi waktu, tenaga, mahupun wang. Saya ambil contoh yang paling terdekat iaitu kita ialah sebagai seorang mahasiswa. Tujuan kebanyakan daripada kita hadir ke universiti adalah ingin menuntut ilmu. Menuntut ilmu ini memerlukan kita untuk hadir ke kelas pada waktu pagi, dan pada sebelah malam pula mungkin akan ada perbincangan antara rakan-rakan sekelas. Begitulah rutin harian kebanyakan kita,sehinggalah kita bergraduasi. 

Dan tahap pencapaian kita itu dapat diukur pada berapa banyak waktu, wang, dan tenaga yang telah kita laburkan demi mencapai cita-cita kita. Begitulah juga sekiranya kita ingin mendapat keredhaanNya.
Justeru, hari raya Aidiladha ini bukanlah semata-mata menyambutnya dengan solat sunat Aidiladha dan diteruskan pula dengan penyembelihan haiwan-haiwan ternakan semata-mata. Tetapi, ia haruslah disertai dengan penghayatan sebenar Aidiladha itu. Sejarah bukanlah bertujuan untuk dijadikan kisah-kisah menarik untuk mengisi waktu senggang, bahkan ia juga bertindak sebagai pengajaran untuk generasi yang akan datang.
Wallahualam.    
  
Muhammad Nasaruddin,
Timbalan Presiden,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan