Forum Baju Melayu Bertemu Baju Kurung: Mengenal Erti Cinta Sebenar

Moderator dan panel jemputan.

Dewan Putra 3, Kolej Pendeta Za’ba,UPM- Pada 16 November 2013, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM telah mengadakan sebuah Forum Baju Melayu Bertemu Baju Kurung(BMBBK) yang membicarakan tentang isu cinta dalam kalangan remaja. Antara panel jemputan ialah Ustaz Khairul Anuar,Ustaz Shahrul Ariffin dan Ustazah Adibah.

“Secara realitinya, hampir 80% remaja terpengaruh dengan fahaman cinta antara lelaki dan perempuan. Seharusnya, keutamaan kita adalah menerapkan fahaman cinta kepada Allah S.W.T. Dunia pada masa kini tidak lagi seimbang kerana pemuda pemudi hangat bercinta sementara nasib umat Islam di Palestin, Mesir, Gaza masih lagi terumbang-ambing”, jelas Saudara Luqman Abdul Hamid,Presiden PEMBINA UPM, semasa ucapan pembukaan forum.

Terdapat 3 pusingan bagi forum ini dimana 2 pusingan pertama merupakan soal jawab oleh moderator,Saudara Syafiq Syahmi dan pusingan terakhir soalan dibuka kepada penonton. Bagi soalan pertama, Ustaz Khairul Anuar memberi definisi tentang cinta.

“Cinta adalah tanggungjawab. Luaskan skop dan dimensi cinta itu. Di mana ada tanggungjawab, di situlah kita prioritaskan cinta kita. Hati menjadi tenang jika dalam cinta itu ada tanggungjawab. Jika hati kita tidak tenang, itu bukanlah yang dinamakan cinta tetapi hanya sesuatu yang pura-pura”,terang Ustaz Khairul Anuar yang dikenali ramai melalui bacaan Al-Quran yang merdu di saluran Astro Aosis.

Ustaz juga menerangkan punca utama gejala sosial pada hari ini adalah manusia sudah hilang sifat malu. Apabila sudah hilang sifat malu, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Langkah pencegahannya ialah sentiasa melatih diri untuk kekalkan sifat malu dalam diri kita.

Panel kedua, Ustaz Shahrul Ariffin yang juga merupakan usahawan muda berjaya menjelaskan tentang cinta sebelum berkahwin.

“Jatuh cinta itu bukanlah satu isu tetapi bagaimana kita menguruskan cinta itu yang menjadi isu. Apa yang terbaik itu adalah apa yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W. Jadi, perbuatan cinta sebelum berkahwin itu adalah satu perbuatan yang tidak terpuji. Sentiasa  menjaga pandangan kita kerana pandangan itu boleh menggoncangkan hati manusia”,terang Ustaz Shahrul.

Ustaz Shahrul turut mengingatkan agar kembali kepada urusan mencari redha Allah terlebih dahulu, perkara selainnya akan datang menyusul jika kita berusaha mendekatkan diri dengan Allah.

Panel terakhir yang juga dikenali ramai dan merupakan juara Da’ie di saluran TV3, Ustazah Adibah menerangkan konsep ikhtilat.

“Ikhtilat pada asasnya  ialah pergaulan serta percampuran antara lelaki dan perempuan. Ikhtilat boleh membawa kebaikan namun boleh juga membawa keburukan. Harus kita ingat dalam jiwa manusia itu ada musuh iaitu nafsu. Perbetulkan niat kita apabila melibatkan diri dalam ikhtilat. Kita harus memelihara ikhtilat bukannya terus menolak ikhtilat itu”,jelas Ustaz Adibah.

Tambah Ustazah Adibah, “Biar perkahwinan menjadi alat untuk kita dekat dengan Allah, jangan jadikan Allah sebagai alat untuk kita dapatkan perkahwinan”. Kita harus bentuk sahsiah diri kita terlebih dahulu agar segala yang dilakukan adalah semata-mata  mendapatkan redha Allah.

Seterusnya, Saudara Syafiq Sahmi memberi kesimpulan kepada forum BMBBK dengan menyarankan remaja untuk meletakkan cinta seratus peratus hanya untuk Allah, dan cinta yang lain pasti akan menyusul. Sentiasa berbual (doa dan membaca Al-Quran) dengan Allah kerana Allah cinta pertama kita.

“Semua orang layak untuk berbahagia. Pandangan Islam, siapa yang memegang nilai Islam dalam diri, dia layak memperoleh kebahagiaan”, kata Saudara Syafiq Syahmi sebagai penutup forum.

Sebelum forum berakhir, Saudari Sayang Syamira menyampaikan pidato yang menyentuh tentang peranan pemuda dalam kebangkitan Islam.

“Pemuda pada masa kini kita lihat terlalu asyik dengan tarian kuda. Tong-tong sampah pula kini dipenuhi dengan darah daging kita. Di mana silapnya? Di mana perginya pemuda sehebat Ali bin Abi Talib, Sultan Muhammad Al-Fateh? Bangkitlah wahai pemuda, biar hari ini menjadi saksi kebangkitan pemuda”,terang Saudari Syamira dengan penuh semangat.

Forum BMBBK yang bermula pada pukul 9 malam, dimulakan dengan bacaan Al-Quran, surah Az-Zumar ayat 6-8, oleh saudara Uthman Muhamed. Sejurus nyayian lagu Negaraku dan Putra Gemilang, bacaan doa dipimpin oleh saudara Khairi. Forum berakhir pada pukul 11.30 malam dengan nyanyian nasyid oleh mahasiswa UPM.

Antara gambar sepanjang majlis:


Saudara Luqman Abd Hamid,Presiden Pembina UPM memberi ucapan


Pengarah program, Saudara Ahmad Naqiuddin bersama 
moderator,presiden PEMBINA UPM dan panel jemputan.


Dewan penuh: Sambutan yang menggalakkan dari mahasiswa


Saudari Sayang Syamira lantang dan semangat berpidato.


Saudara Uthman mengalunkan ayat suci Al-Quran.


Persembahan nasyid bertajuk "Aku ingin mencintai-Mu"

0 komen:

Catat Ulasan