Pemuda Harapan Bangsa


Seorang lelaki berumur datang ke sebuah kampung. Dia melihat beberapa orang pemuda berkumpul. Dia dihormati dan dijemput. Lelaki itu pelik kerana tidak menjadi kebiasaan pemuda di kampung-kampung berperilaku sedemikian. Mereka berbincang tentang masalah-masalah penduduk. Perbincangan mereka seperti pemuda yang berilmu dan berpengetahuan tinggi.

Mereka berbincang ringkas dan padat. Malahan mereka mengetahui sirah rasul apa yang tidak diketahui oleh mahasiswa-mahasiswi.

Lalu lelaki itu bertanya, "Dari mana kamu belajar semua ini?"

Mereka menjawab, mereka daripada Ikhwanul Muslimin.

Begitu jawapannya membuatkan lelaki itu berminat dengan ikhwan dan akhirnya dia turut serta dalam perjuangan Ikhwanul Muslimin. Dan lelaki itu adalah Hassan Hudhaibi, Mursyidil Am ke-2 Ikhwanul Muslimin.

Begitulah apa yang PEMBINA ingin bawa kepada para pelajar semua. Kita tidak mahu hanya sekadar menjadi bahan-bahan industri kelak apabila menjejak kaki keluar dari universiti ini.

Kita tidak mahu hanya cemerlang di akademik tetapi lupa tentang apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di luar sana.

Apakah kalian tidak ingat akan kata Rasulullah bahawa:

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Harus kita sebagai seorang pemuda, bergerak menegakkan panji-panji jihad. Sesungguhnya definasi jihad itu tidak terhad setakat mati syahid. Jihad definasinya lebih luas. Seluas apa yang kita dengari dan fahami.

Belajar itu juga jihad. Jihad demi ummah!

Baik. Mari saya berikan satu analogi.

Seorang pelajar yang pada keesokan hari akan menghadapi peperiksaan akhir. Dia telah bersedia dengan pelbagai maklumat untuk menjawab peperiksaan itu nanti. Apabila pagi esoknya pula, sedang dia bersiap untuk ke dewan peperiksaan, dia menerima panggilan dari rumah. Ayahnya sakit tenat.

Apakah yang perlu pelajar itu buat? Jika dia tidak menghadiri peperiksaan ini, tentunya dia akan gagal. Mungkin dia boleh balik lambat kerana ayah hanya sakit tenat. Sekejap sahaja ayah perlu menunggu.

Jadi jika saudara dalam situasi ini apakah pula keadaannya bagi saudara?

Pastinya kita akan meninggalkan peperiksaan itu dan pulang ke rumah menziarahi ayah yang sakit.

Begitu jugalah samanya kita sekarang. Ummat sekarang berada dalam keadaan tenat. Takkan kita tidak langsung menganggap ummat ini sebagai saudara? Bukankah Rasulullah SAW pernah berkata,

“Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Adakah kita mahu menangguhkan keperihatinan kita kepada ummat hanya kerana akademik kita yang sementara?

Tidak. Saya tidak berkata begitu. Kita ada cara bijak untuk menyelesaikan dilema ini.

Dalam kita mencapai kejayaan akademik, turut sertalah dalam cakna akan hal-hal berkaitan ummat. Ketahui ancaman-ancaman yang menyerang ummat kini.

Kita bukan diserang dengan senjata dan darah. Pada zaman ini kita diserang dengan serangan pemikiran. Lihatlah bagaimana ia mencairkan jati diri kita.

Hedonisme yang berpaksikan hiburan. Segala macam konsert dilihat perkara penting untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan stress. Islam tidak melarang untuk kita berhibur. Tetapi berhibur itu ada hadnya.

Liberalisme yang berpaksikan akal. Dikatakan bahawa al-Quran itu sudah tidak sesuai untuk ummat zaman ini. Ia perlu ditafsir semula. Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual diberikan hak atas nama hak asasi manusia. Tidakkah kita mengingati kaum Lut yang dilaknat oleh Allah SWT dahulu?

Pluralisme yang menyamaratakan semua agama. Islam adalah tertinggi dan tiada yang tinggi selain Islam! Islam boleh bertoleransi dalam bab muamalah atau perhubungan seharian. Namun, bab akidah dan kepercayaan tidak sama sekali!

Kristianisasi yang cuba mencari lubang-lubang menyesatkan ummah. Kalimah Allah ingin dirosakkan mereka dengan dasar hak sama rata agama.

Syiah yang kian menular. Mencaci perihal para sahabat dan bersembunyi di sebalik kecintaan kepada ahlul bait (keluarga Nabi). Sifat taqiyyah (berbohong) mereka membuatkan ada yang turut tertipu dengan pembohongan mereka itu.

Lalu, apakah mahasiswa patut buat? Seharusnya kita memperkukuhkan akidah kita. Elakkanlah pertikaian atas perkara-perkara kecil. Kekalkan hubungan ukhwah (persaudaraan sesama kita).

Umat Islam bukanlah ummat yang pasif. Apabila diserang kita hanya mengiyakan serangan ini.
Bangkitlah pemuda-pemudi sekali. Bangkitlah dengan kesedaran yang betul. Bangkit dengan nama Islam yang benar.

Mari kita menjadi pemuda-pemudi idaman. Pemuda pemudi harapan. Sedar dan cakna dengan isu semasa melibatkan ummah. Menguatkan saf-saf kita dengan jati diri Islam yang sebenar.

Oleh,

Mohamad Izham Bin Mohd Alias
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional

0 komen:

Catat Ulasan