Apabila Pemimpin Bersama yang Dipimpin - Satu Pesanan Kepada Kepimpinan Kolej

Barisan Majlis Tertinggi PEMBINA UPM 2013/14.

Menerima kunjungan pelawaan untuk memimpin di dalam sebuah organisasi di peringkat universiti bukannya mudah seperti abc, 123. Ia merupakan peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat yang memerlukan formula untuk merujuk segala langkah pengiraan bagi mendapat jawapan. Perumpamaan ini boleh disama ertikan dengan kehidupan seorang mahasiswa  yang memerlukan rujukan asas, pegangan yang kuat dalam kepimpinan menurut Islam. 

Hal ini amat berbeza  dengan situasi ketika berada di bangku sekolah. Apabila digelar sebagai  pucuk pimpinan di Kolej, Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) perlu bersiap siaga dalam menghadapi pelbagai ujian, pengorbanan, dan sebagainya bagi memegang sebutir amanah yang amat berharga. Mutiara amanah jika dijaga, maka eloklah ia, berkilau sepanjang masa bahkan berkekalan sehingga di alam sana. Menurut kalam cinta daripada Allah S.W.T buat hamba-Nya, jelas tertulis betapa pentingnya amanah yang dipikul.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (Janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Al-Anfal:27)

Kepimpinan adalah amanah, titipan daripada Allah swt kepada insan yang terpilih. Oleh itu, jalankanlah tugas sebaiknya agar tugas-tugas yang digalas sesuai dengan perdagangan yang Allah telah tetapkan bagi orang-orang yang beruntung.

Allah berfirman! Sesungguhnya Aku memilih dalam (melebihkan ) engkau dari manusia yang lain pada masamu untuk membawa risalahKu dan firmanKu, sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah engkau termasuk orang-orang yang bersyukur. (Al-A’raf:144)

Persoalannya di sini, sempat atau tidak kita melihat sejauh mana kesediaan hati kita dalam memimpin.

Adakah ia sekadar inginkan gelaran ‘glamour’ semata-mata? 

Atau ingin dilihat lebih tinggi daripada yang lain? 

Atau ingin memperoleh kemudahan-kemudahan tertentu jika berstatus tinggi ini?

 Katakan tidak bagi semua persoalan di atas.

Sebagai pemimpin, kita perlu ada semangat yang jitu, ampuh dan kuat dalam organisasi. Kekuatan dalaman amat dititikberatkan terutamanya dalam kalangan Majlis Tertingi Mahasiswa. Seorang pemimpin harus menonjolkan qudwah yang baik terhadap anak-anak pimpinannya, khususnya pelajar-pelajar baharu. ‘First Impression’ sangat penting untuk pelajar-pelajar baharu maka tunjukilah tauladan yang baik yang membuatkan hati-hati insan terpaut untuk menjadi insan yang lebih baik diterima di sisi Allah. 

Hal ini kerana, pelajar-pelajar baharu perlukan persekitaran yang baik apabila berjauhan dengan ibu bapa. Tidak rugi jika kita menyumbangkan sesuatu untuk kepentingan agama buat pelajar-pelajar baharu, maka ikhlaskan hati, betulkan niat agar segala perbuatan dihitung dengan cemerlang. MTM perlu menyelami suara hati pelajar-pelajar baharu dan sudah pasti segunung harapan yang diharapkan mereka iaitu “Pimpinlah kami ke arah yang diredhai Allah swt”.

Oleh:
Syahirah Abd Salam
Biro Tarbiyah & Dakwah
PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan