Street Dakwah: Cinta dan Pergaulan Dalam Kalangan Mahasiswa

Tokoh -tokoh PEMBINA UPM semasa Street Dakwah.

Putra Foodcourt,UPM- Pada 15 November 2013, PEMBINA UPM telah menjalankan ‘Street’ Dakwah bagi memperkenalkan tokoh –tokoh PEMBINA UPM selain mempromosikan program Forum Baju Melayu Bertemu Baju Kurung (BMBBK).

Saudara Syafiq Syahmi Sazali selaku pengacara majlis memulakan ucapan pendahuluan bagi memperkenalkan tokoh – tokoh PEMBINA UPM yang akan berpidato ringkas menyampaikan hujah masing –masing.

Tokoh PEMBINA UPM pertama, Saudara Izham Alias dari Biro Media dan Promosi, menerangkan beberapa ancaman yang dihadapi  umat islam sekarang, antaranya ialah pluralisme iaitu menyama ratakan Islam dengan agama lain sedangkan Allah berfirman dalam Surah Al-Imran ayat 19 yang bermaksud,

“Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam”

Tambah saudara Izham, “Islam adalah satu –satunya agama yang Allah akui kebenarannya, sempurna dan paling terbaik untuk manusia kerana Islam agama yang datang dari Allah bukan agama rekaan manusia semata”. Antara ancaman lain seperti sekularisme, normalisasi, liberalisme ,syiah dan hedonisme adalah satu  realiti yang berlaku kini samada kita sedar atau tidak dan ianya harus ditentang serius oleh setiap umat Islam.

Seterusnya, tokoh PEMBINA UPM kedua iaitu Saudari NorHazimah Zainal Abidin, Naib Presiden PEMBINA UPM mengalukan kedatangan mahasiswa ke Forum BMBBK seterusnya menerangkan secara ringkas tentang konsep cinta.

 “Islam membenarkan malah menggalakkan kita bercinta dan berkasih sayang, tetapi cinta yang bagaimana? Dalamilah makna sebenar bercinta dalam Islam kerana Islam sangat menitik beratkan pergaulan antara lelaki dan perempuan bagi menjaga kesucian cinta itu”,kata Saudari Hazimah. Bagi mengetahui lebih mendalam tentang erti cinta sebenar, forum BMBBK menyediakan ahli panel yang berpengalaman mengupas tentang tajuk cinta.

Tokoh yang seterusnya ialah Saudari Sayang Syamira, Ketua Biro Aktivisme Mahasiswa. Saudari Syamira menerangkan tentang gejala normalisasi yang terdedah kepada umat islam kini.

“Normalisasi berlaku apabila sesuatu yang terang-terang salah di sisi Islam, menjadi sesuatu yang normal dan biasa pada masa kini. Ini lebih merisaukan kerana perkara yang salah tersebut terus menerus menjadi ikutan dan gaya hidup seperti berpasangan atau istilah “couple” tanpa ada ikatan yang sah yang tidak berlandaskan syariat Islam”,kata Saudari Syamira.

Tokoh PEMBINA UPM berikutnya, Saudara Ahmad Naqiuddin dari Biro Tarbiyah dan Dakwah pula menyentuh tentang peranan pemuda dan mahasiwa.

“Ramai tokoh Islam adalah dalam kalangan pemuda. Sejarah Islam membuktikan, Sultan Muhammad Al-Fateh, raja yang juga pemuda yang berumur 21 tahun berjaya menakluk Kota Konstantinopel. Ini membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan aset penting dalam pembangunan Islam jika dibentuk dengan acuan Islam”,kata Saudara Naqiuddin.

Saudara Naqiuddin juga menyeru agar mahasiswa bijak menggunakan masa emas mereka dengan membabitkan diri kepada perkara kebaikan agar tidak terbelenggu dengan perkara keburukan. Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar, sediakan juga masa untuk kerja dakwah agar kita menjadi pelajar yang seimbang dunia akhirat.

Tokoh PEMBINA UPM yang terakhir ialah Saudara Luqman Abdul Hamid, Presiden PEMBINA UPM. Saudara Luqman menekankan tentang kepentingan penghayatan agama dalam institusi keluarga dan perubahan diri dalam kalangan pemuda.

“Keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Jika hancur sesebuah institusi keluarga itu, maka hancurlah masyarakat sekitarnya. Hal ini terjadi bermula dengan kurangnya penghayatan agama dalam diri  pemuda pemudi itu sendiri menyebabkan ancaman terhadap Islam lebih berleluasa”,kata Saudara Luqman.

Beliau juga mengingatkan agar bersedia mempersiapkan diri pada esok hari yang jauh, semasa segala amalan kita di hisab oleh Allah S.W.T. Walaupun kita melakukan sekelumit dosa,  melalui pergaulan sebagai contohnya,Allah pasti mengetahuinya. Firman Allah yang bermaksud,

"Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa-apa yang dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya."
(Surah al-Baqarah ayat 255)

Pada pengakhiran program, Saudara Syafiq Sahmi Sazali menyatakan  kesimpulan iaitu negara kita merdeka dengan kebangkitan pemuda. Justeru, pemuda harus bangkit semula kerana kita sedang di ancam secara halus. Jika kita leka, musuh Islam akan berterusan menyerang kita.

“Jadilah manusia yang soleh bukan hanya di surau dan masjid, tetapi di mana-mana sahaja kita berada”, kata Saudara Syafiq sebagai penutup program.

0 komen:

Catat Ulasan