Pemakanan Mengikut Perspektif Islam


Kolej 13, UPM- “Perkara atau topik yang selalu menjadi persoalan dan sentiasa dibincangkan oleh pengguna khususnya umat Islam adalah pemilihan makanan halal dan haram kerana kini terlalu banyak isu yang diperkatakan tentang status halal pada sesetengah produk makanan”. ujar saudari Noor Jaini, yang ditemui dalam Kuliah Nisa' bertajuk ‘ Makanan Halal’ anjuran PEMBINA UPM baru-baru ini.

Beliau turut berkata bahawa Allah S.W.T jelas mengatakan perkara yang haram bagi umat Islam iaitu dalam surah Al- Ma’idah ayat 173 yang bermaksud
 “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

“Mengandungi sesuatu yang memabukkan iaitu arak atau alkohol merupakan antara yang diharamkan dalam Islam. Secara umumnya, tidak semua alkohol dapat memabukkan, tetapi terdapat dua sebatian yang memberi kesan memabukkan daripada alkohol iaitu etanol dan metanol ”. Jelas saudari Noor Jaini.

Saudari Noor Jaini juga menegaskan sebagai umat Islam di Malaysia yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut hukum syarak.

Kuliah Nisa' merupakan salah satu Pakej Tarbiyyah yang ditawarkan kepada beliawanis di sekitar UPM dan diadakan pada setiap Jumaat pada pukul 12: 30 tengahari di surau kolej kediaman Kolej 13, Kolej 11 dan Kolej 17.

Wartawan:
Noor Khairina,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan