Penulis Perlu Berjemaah untuk Berjaya

 Puan Nisah Haji Haron dan Khairul Nizam Hasnol

BANGI, 13 April - Penulis perlu berjemaah untuk berjaya dan kekal dalam dunia penulisan kerana dengan berjemaah seorang penulis akan kekal istiqamah dalam menghasilkan karya-karya baru.
Munsyi Dewan, Puan Nisah Haji Haron berkata, dengan berjemaah penulis dapat memberi motivasi antara satu sama lain dalam mengekalkan momentum penulisan mereka.

“Mengapa kebatilan boleh terus naik dan kekal hidup? Ini kerana mereka terancang dan berjemaah,” katanya di bengkel penulisan kreatif anjuran PEMBINA Bangi yang berlangsung di Pejabat ISMA DHL
.
“Bentuklah satu kumpulan kecil antara anda semua agar terus bermotivasi untuk menulis. Tidak perlu ramai sebegini. Hanya perlu tiga hingga empat orang sudah memadai. Masing-masing memberi sokongan agar penulisan baik terus dapat dihasilkan,” nasihat Puan Nisah.

Penulisan terancang bermula dengan penulis sedar sasaran pembacanya. Sama ada pada peringkat kanak-kanak, remaja ataupun dewasa. Setiap sasaran lain strategi penulisan yang perlu dilakukan, menurut Puan Nisah.

Puan Nisah banyak berkongsi pengalaman beliau menulis dari awal terbitnya cerpen pertama beliau di Dewan Siswa (September 1990) yang bertajuk ‘Di Sebalik Wajahmu, Aries ‘ sehingga beliau menjadi penulis sepenuh masa.

Bengkel Penulisan Kreatif yang dihadiri oleh hampir tiga puluh orang pelajar dari Institut Pengajian Tinggi sekitar Bandar Baru Bangi ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Pembangunan Potensi PEMBINA Bangi.

Ia bertujuan melatih ahli PEMBINA menulis dengan betul dan terus sampai kepada masyarakat dan sebahagian daripada pakej kepimpinan yang ditawarkan oleh PEMBINA kepada ahlinya.

0 komen:

Catat Ulasan