Sukarelawan PEMBINA UPM Menghidupkan Semangat Pemuda


PUCHONG, 6 April - “Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang yang bernama Ibu”. Antara petikan kata yang membuatkan kita merenung sejenak akan nasib ibu bapa kita pada masa hadapan.

Melangkah masuk ke dalam Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas yang menempatkan lebih kurang 50 orang penghuni akan menimbulkan rasa sayu dan sedih melihat keadaan mereka di sana.

“Mak cik tu perlukan kasih sayang. Dia nak kita peluk dia lama-lama”, kata seorang AJK Program Ziarah Amal ketika melakukan aktiviti di luar rumah jagaan sementara para ikhwah melawat golongan wanita di rumah tersebut.

Suntikan kata-kata semangat diberikan kepada golongan emas ini agar tabah dengan ujian dan takdir yang Allah swt tetapkan untuk mereka. Walaupun penekanan ini nampak kecil tetapi ia bermakna.

“Allah tidak lihat apa hasil yang kita dapat tetapi Allah lihat pada usaha yang kita buat”. Kata salah seorang wakil sukarelawan.

Keadaan di rumah jagaan tersebut sangat menyayat hati. Ada di antara mereka yang gembira menerima kunjungan, ada juga yang hanya membuat hal sendiri kerana mungkin mahukan privasi. Namun satu perkara yang kita tahu, mereka merindui anak-anak mereka. Meskipun tidak diluahkan rasa itu, namun, terlihat rindu itu melalui penerimaan mereka dengan kunjungan dari sukarelawan.

Walaupun Rumah Jagaan ini tidak pernah sunyi dengan kunjungan dan lawatan dari pihak-pihak yang prihatin namun masyarakat terutamanya golongan muda perlu adanya sikap sayang-menyayangi golongan lebih tua agar menjadi teladan kepada generasi akan datang.

Hasil daripada aktiviti program ini, sukarelawan dapat merapatkan lagi ukhwah sesama mereka, malah ia juga memupuk sikap prihatin. Selain itu, program ini juga membina semangat kerjasama dalam sepasukan antara muslimin dan muslimat.

Program Ziarah Amal anjuran Biro Sahabat Aman yang telah diwakili seramai 35 orang sukarelawan telah menghadirkan diri untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Wartawan:
Nurul Aini Zharfan,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan