Sehelai Hijab Buat Cinderella

Sehelai Hijab Buat Cinderella


Pada suatu masa dahulu ada sebuah kerajaan yang rata-rata penduduknya beragama Islam. Namun, Islam telah lama ditinggalkan oleh penduduk. Masjid sunyi seolah-olah muzium sahaja. Hijab telah lama ditinggalkan oleh kaum hawa. Syiar Islam tidak terlaksana. Islam hanya sekadar nama.

Kerajaan tersebut dinaungi oleh raja yang sedang sakit tenat. Ramai rakyat risau dengan kesihatan raja. Raja perlukan penganti.

Bakal penganti baginda lain tidak bukan puteranya sendri iaitu Putera Remy. Sebelum Putera Remy ditabalkan menjadi raja, dia mesti mencari permaisuri untuknya bagi melengkapkan adat  kerajaan tersebut.

Bermulanya pencarian permaisuri hati.

*****

Di sebuah sudut di kerajaan itu, terdapat sebuah keluarga yang diketuai oleh seorang wanita yang menjadi ibu kepada dua orang perempuan, Laila dan Laili dan mempunyai seorang anak tiri, Reena. Ayah mereka telah meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Mereka seperti rakyat kerajaan itu, sudah tidak mengamalkan cara hidup Islam. Tidak memakai hijab, apatah lagi ibadah solat tidak dilaksanakan. Islam hanya pada nama.

Reena sedih dengan hidupnya. Setiap hari dia didera oleh ibu tiri dengan  terpaksa menghadap muka  adik-beradik tiri yang selalu mengejeknya. Semua kerja rumah dilakukan oleh Reena seperti menyapu dan mengemop lantai dan sebagainya.

Ibu tiri, Laila dan laili tidur di bilik masing-masing. Manakala Reena hanya tidur di dalam stor yang penuh barang-barang rumah. Terasa sempit di dalam bilik stor itu.

Reena sangat rindukan arwah ayah dan ibu dia. Reena menyimpan gambarnya bersama arwah ibu dan ayah dia di bawah bantal. Sebelum tidur, dia akan tengok gambar itu. Dia terpaksa sembunyikan gambar tersebut. Kalau tidak, pasti akan dikoyak oleh ibu tiri dia.

Reena tersedu keseorangan di stor itu.

Apabila melihat gambar keluarganya, dia terasa sangat rindu dengan ayah dan ibu.

Yang berkerja hanya Reena. Ibu tiri, Laila dan Laili hidup senang-lenang di rumah. Reena berkerja sebagai pemungut teh di sebuah ladang teh milik keluarganya.

Seperti hari biasa, Reena dalam perjalanan pulang ke rumah setelah berkerja di ladang teh. Ketika dia berjalan, dia terdengar satu bunyi yang mengasyikkan. Entah mengapa dia berasa tenang sahaja. Seperti ada pelukan mesra daripada seorang yang dia kasihi.

Dia mencari dan akhirnya berjaya mencari di mana arah bunyi itu. Ia datang dari sebuah rumah usang.  Di balik luar tingkap Reena memerhati ada seorang nenek tua yang memakai telekung sedang membaca sebuah kitab lusuh.

Perasan dengan kehadiran Reena, nenek tua bertanya, "Anak muda apa kamu buat di sini?"

Reena tersentak dan membalas, "Saya suka lagu yang nenek baca tadi. Apakah lagu tersebut?”

Nenek menggelengkan kepala.

“Ni Al-Quran, kalam Allah.”

“ Al-Quran ? saya tak pernah dengar pun mengenainya.”

“ Mari nenek ajar kamu, tapi pakai ni dulu.”

“ Ni baju apa nek?”

“ Ni namanya telekung.”

Sejak hari itu, setiap hari selepas balik dari ladang teh Reena pasti singgah ke rumah nenek tua itu.
Nenek tua itu mengajar dia beribadah dan cara membaca Al-Quran yang sememang telah dilupakan oleh rakyat di kerajaan itu.

*****

Tukang hebah di kota mengeluarkan sebuah skrol di tangan.

“Pengumuman! Putera Remy akan pergi rumah ke rumah di setiap pelusuk negeri ini untuk memilih bakal permaisuri buat negeri ini.”

Berita itu menjadi bualan hangat dalam kalangan gadis-gadis sunti di kerajaan itu. Semua bersiap-siap dan memakai pakaian cantik.

Tidak terlepas juga Laili dan Laila. Dengan gembira mereka memberitahu ibunya mengenai berita itu. Ibu mereka berkata, “Wah pasti salah seorang daripada kamu berdua bakal menjadi isteri raja!“
Laila dan Laili berdua serentak bercakap, "Tentulah saya, bu."

Laila memandang Laili. Laili memandang Laila. "Sayalah! Bukan awak! Saya!” Mereka mula bergaduh.
Melihat keadaan itu, ibu mereka menjerit “Sudah, berhenti! Kamu berdua pergi mekap! Mana Reena? Reenaa mana kau!”

Reena baru pulang dari ladang teh dan memakai hijab buat pertama kalinya. Hijab itu diberi oleh nenek tua itu.

Ibu tiri terkejut melihat rupa baru Reena lalu berkata, "Apa yang kamu pakai tu! Buruk sungguh! Sudah, pergi masuk ke dalam stor sekarang!"

Reena membalas, "Tapi ibu, saya belum makan lagi."

“Kamu masuk sahajalah! Kalau tidak saya akan pukul kamu,” jerit ibu tiri sambil mengangkat tangan. Terus Reena ditarik dan ditolak masuk ke dalam stor dan dikunci.

"Bagus. Nanti Putera Remy tidak akan jumpa si Reena," bisik ibu tiri.

Malam itu, Reena menangis. Dia lapar dan tidak dapat keluar dari stor itu. Kemudian dia teringat pesan nenek tua itu, “Allah selalu bersama orang-orang beriman. Sebutkanlah ‘Lahaulawa kuwata illah billah.’"
Di dalam stor itu, tiada air. Reena pun ambil tayamum dan melalukan solat hajat lalu dia berdoa, "Ya Allah, kalau ini ujian daripada engkau, ya Allah, kuatkanlah hatiku. Ya Allah, tabahkanlah hatiku ya Allah. Bantulah aku dalam kesusahan ini.”

Perut Reena berkeroncong kuat selepas dia mengaminkan doanya. ‘Lahaulawa kuwata illah billah’ hanya itu yang Reena sempat sebutkan. Tiba-tiba dia perasaan ada seekor kucing masuk ke dalam stor dari lubang kecil di bawah tingkap. "Chibbi!" kata Reena spontan melihat kucing peliharaan Laila itu.

Reena belai Cibbi diribanya. Setelah itu Chibbi melompat dan berdiri di atas sebuah kotak seolah-olah ingin menunjukkan sesuatu. Reena mengerut dahi dan mendekati kotak itu. Dia membuka kotak itu dan terkejut dengan apa yang dia lihat. Satu tin sardin dan roti yang masih elok. "Alhamdulillah," kata Reena dan terus memeluk Chibbi. Chibbi meronta dan melepaskan diri. Ia berlalu pergi melalui lubang yang ia masuk tadi.
Pada malam itu, Reena bermimpi dia dilamar oleh seorang lelaki. Dia terjaga daripada mimpi itu lalu beristighfar. “Mimpi adalah mainan syaitan,” bisik Reena.

Keesokan paginya, tibalah giliran rumah mereka untuk dilawat oleh Putera Remy. Reena masih terperangkap di dalam stor dan dia tidak mengetahui akan hal ini.

Putera Remy mengetuk pintu.

“Silakan masuk,” ujar Ibu tiri. “Perkenalkan ini anak saya Laila dan Laili,“

“Hai putera kacak,” kata mereka berdua serentak dengan suara gedik, mata berkedip.

Putera Remy memandang mereka dari kepala sampai ke kaki. “Mekap tebal dua inci dan baju macam tidak cukup kain,” desis hati Putera Remy.

Putera Remy membalas dengan pandangan menyampah. “Minta maaf puan. Mereka bukan yang beta cari.”

Ketiga-tiga penghuni rumah itu membuntang mata dengan kenyataan putera itu.

Laila dan Laili bersuara manja, “Tapi… tapi kan.”

Terus putera menyergah, “Sudah! Jika beta dengar lagi suara gedik kamu, akan beta hukum kamu sekeluarga dengan hukuman pancung.”

Mereka berdua pun terdiam. Keadaan itu dilihat lucu oleh pengawal dan pengiring putera sehingga mereka ketawa senyap dari belakang putera. Putera pun beredar dari rumah itu.

Dalam hati ibu tiri, “Anak aku tak dapat, Reena pun aku akan pastikan tak dapat. Nasib baik aku sudah mengurungnya semalam.”

Reena masih terperangkap di dalam stor. Dia nak keluar dari stor itu. Dia merindui untuk berjumpa dengan nenek tua. Dia ingin mempelajari lagi bacaan Al-Quran.

Sambil duduk di atas guni, dia mengeluarkan gambar arwah ayah dan ibunya dari saku kiri baju. ‘Lahaulawa kuwata illah billah’ kata Reena perlahan. Tidak semena-mena ingatan kecilnya muncul.

“Ayah pernah menunjukkan saya satu laluan rahsia di dalam stor ini,” getus hati Reena.

Reena mendekati sebuah almari lama berdekatan tingkap stor. Terdapat satu patung kucing di dalam almari itu dan dia menolaknya ke kiri. Almari itu dengan perlahan bergerak ke tepi. Sebuah laluan rahsia muncul di balik almari itu. Reena tersenyum lebar.

Dia terus menyambar hijabnya dan melalui laluan itu.

Di belakang rumahnya, kawasan ladang luas itu Reena berlari-lari. Ketika itu Putera Remy terlihat Reena. Baginda hairan. Siapakah gerangan yang memakai penutup kepala itu?

Dengan senyap dia pun mengekori Reena. Dia melihat gadis itu masuk ke dalam sebuah rumah usang di balik bukit. Perlahan-lahan dia mendekati rumah usang itu. Sedang dia berada di hadapan pintu rumah itu dia terdengar alunan bunyi merdu seperti mana ketika Reena mendengar sebelum berjumpa nenek tua.
Dalam rumah usang itu, Reena membaca Al-Quran dengan tunjuk ajar nenek tua.

Putera Remy bersembunyi di dalam semak apabila mengetahui penghuni di dalam rumah itu akan keluar. Dia melihat gadis berhijab tadi keluar dari rumah usang itu. Putera Remy meneruskan misinya mengekori gadis itu.
Dia sedikit canggung apabila melihat gadis tersebut hilang sebaik memasuki ke dalam kawasan rumah yang dia melawat pagi tadi.

Reena kembali ke stor melalui laluan rahsia. Putera Remy dan pengawal-pengawalnya masuk ke dalam rumah melalui pintu utama.

Melihat kedatangan rombongan diraja itu kembali ke rumah mereka, ibu tiri sangat teruja.

Berdiri di hadapan pintu terus Putera Remy bersuara dengan serius sambil melirik ruang di dalam rumah itu, “Adakah ada anak gadis lain di sini selain mereka yang saya jumpa tadi?”

Dengan muka cemas, ibu tiri menjawab, “Tiada.”

“Betul? Atau mak cik menipu?”

Suasana menjadi tegang. Tiba-tiba Chibbi melompat di hadapan antara Putera Remy dan ibu tiri sambil mengiau ingin ia diikuti. Mata ibu tiri terbuka luas. “Jangan, jangan,” desis hatinya.

Putera Remy mengekori Chibbi. Chibbi berdiri betul-betul di depan pintu stor itu sambil menggosokkan badannya di hadapan pintu itu.

“Pengawal pecahkan pintu ini sekarang juga!” Arah Putera Remy.

Ketika itu cahaya memenuhi ruang stor yang separa gelap itu. Kelihatan Reena memakai telengkung dan sedang solat dengan kusyuknya.

Semua canggung melihat keadaan itu tidak tahu hendak berbuat apa.

Reena memberi salam pertama tanda selesai solat. Apabila memberi salam terakhir terus dia terkejut melihat ramai orang di luar pintu stor.

Putera Remy berdiri di hadapan pintu stor lalu bertanya, “Nama kamu siapa?”

“Reena,” jawab ringkas Reena.

Putera Remy berjalan setapak mendekati Reena. Melihat keadaan itu, terus Reena berkata dengan dingin, “Jangan dekati saya. Saya tidak halal untuk kamu sentuh.”

Dalam hati Putera Remy, “Tidak pernah aku berjumpa gadis yang betul betul menjaga dirinya seperti gadis ini.“

Kemudian Putera Remy pun berkata, “Kalau begitu, sudikah kamu menjadi halal untukku? Berkahwin dan menjadi permaisuri untuk rakyat?”

Pertanyaan putera itu terus membuatkan Reena teringat akan hal mimpinya malam tadi. Dia beristighfar dan membaca basmalah dalam hati. Sambil tunduk malu dengan senyuman manis dia membalas, “Saya sudi.”

*****

“Asalamulaikum warahmatullah..”

Suara salam Remy selepas solat berjemaah bersama pasangannya. Raja Remy menjadi imam kepada Permaisuri Reena.

Reena tunduk bersalaman sambil menyium tangan suaminya itu. Remy berkata, “Terima kasih adinda. Allah memberi hidayah kepada abang melalui adinda.”

Linangan air mata Reena jernih jatuh di atas sejadah. “Terima kasih abang. Allah memberi rezeki kepada saya melalui abang.”


Oleh:
Jang Abd Mutalib
Aktivis PEMBINA

0 komen:

Catat Ulasan